Sukarelawan Selangor (Serve) Rescue ketika Majlis Penutupan Latihan dan Kursus Serve Rescue di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam pada 17 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Lebih 3,000 sukarelawan negeri siap sedia hadapi bah

PETALING, 13 NOV: Lebih 3,000 ahli Sukarelawan Selangor (Serve) bersiap sedia berdepan bencana banjir yang diramal berlaku bulan ini.

EXCO pembangunan generasi muda berkata setakat ini ahli tidak terlibat dengan misi menyelamat mangsa kerana banjir yang melanda di beberapa kawasan masih terkawal.

“Kita ada dua pasukan iaitu Serve dan Serve Rescue yang menjalani latihan dengan bomba Selangor. Semua sudah dimaklumkan untuk bersedia jika khidmat mereka diperlukan.

“Kita harap kejadian bah besar seperti hujung tahun lalu tidak akan berlaku. Bagaimanapun kita perlu sentiasa bersedia,” kata Mohd Khairuddin Othman.

Beliau ditemui ketika menyertai kempen calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Sungai Buloh Datuk R Ramanan di Bukit Rahman Putra di sini, hari ini.

Minggu ini beberapa kawasan terutama di Klang dan Shah Alam dinaiki air susulan hujan lebat. Setakat jam 11 pagi tadi, seramai 697 mangsa banjir ditempatkan ke tujuh pusat pemindahan sementara.

Kelmarin Dato’ Menteri Besar memaklumkan persediaan berdepan bencana banjir kali ini lebih tersusun dan pantas terutama dalam urusan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, langkah awal itu diambil susulan kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia yang meramalkan musibah itu pada minggu kedua November.


Pengarang :