EXCO Kebudayaan dan Warisan Borhan Aman Shah (tengah) mencanting dan mewarna batik Selangor bermotifkan bunga tanjung di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam pada 2 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO: Martabat identiti negeri, perhebat program seni budaya

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

SEPANG,27 NOV: Peruntukan RM1.5 juta dalam belanjawan 2023 akan dimanfaatkan untuk menjayakan program kebudayaan dan kesenian yang mengangkat martabat serta identiti negeri.

EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata beberapa program skala besar sedang dirangka bagi memastikan warisan negeri tidak dilupakan terutama dalam kalangan generasi muda.

“Sebagai contoh fiesta nasi ambeng kita akan teruskan lagi supaya ia tidak ditelan zaman dan kita mahukan rekod ini terus diusahakan. Kita juga telah rancang beberapa lagi program untuk tahun depan yang besar.

“Dengan peruntukan yang ada, saya akan perkasakan lagi bukan sekadar makanan tetapi daripada segi kebudayaan lain termasuk peralatan, budaya dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, Borhan menerima sijil pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) atas kejayaan Kerajaan Negeri menganjurkan fiesta hidangan nasi ambeng terbesar di Malaysia menerusi penyediaan 2,022 dulang hidangan di Pantai Bagan Lalang, di sini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin mengumumkan dana RM1.5 juta disediakan bagi penganjuran beberapa program utama peringkat negeri.

Program akan dianjurkan antaranya keroncong antarabangsa, pesta nasi ambeng dan Konsert Rentak Selangor yang menampilkan artis budaya dan selebriti anak Selangor dalam suasana meraikan kepelbagaian yang membentuk keperibadian negeri ini.


Pengarang :