EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud (dua, kanan) ketika sidang media selepas merasmikan Program Perkongsian Kesihatan Selangor (Selhep) di iSpace Plaza Vads, Kuala Lumpur pada 24 November 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Program perkongsian kesihatan medan negeri rangka kerjasama pintar

Oleh AZIAN AZIZ

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Program Perkongsian Kesihatan Selangor (Selhep) menjadi medan merangka strategi dan pendekatan kesihatan awam baharu yang memberi lebih manfaat kepada rakyat.

EXCO kesihatan awam berkata program julung kali dianjurkan itu bertujuan merancakkan kerjasama pintar antara Kerajaan Negeri dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, institusi penyelidikan dan sektor swasta.

Menurut Dr Siti Mariah Mahmud, program berkenaan membolehkan kesihatan awam diuruskan lebih efisien dengan kos efektif serta bersasar selain menambah baik program sedia ada.

“Bagi merealisasikan Selhep, Kerajaan Negeri melalui Majlis Penasihat Kesihatan Awam Negeri Selangor membuka permohonan kepada pihak yang berminat untuk membuat cadangan apa yang mereka boleh bantu dalam beberapa keutamaan kesihatan.

“Hasilnya sebanyak 341 organisasi dan 125 kertas cadangan telah diterima namun hanya 35 kertas cadangan yang berdampak disenarai pendek untuk dibentangkan sebelum diputuskan.

“Setelah itu, cadangan terpilih akan dilaksanakan dengan dana disalurkan oleh Kerajaan Negeri,” katanya selepas melancarkan Selhep di iSpace Plaza Vads di sini hari ini.

Dr Siti Mariah memberitahu lapan keutamaan kesihatan awam kritikal ditetapkan bawah Selhep merangkumi kesihatan mental, barak pangkal rahim, penuaan secara sihat, penyakit tidak berjangkit, nutrisi awal kanak-kanak, literasi kesihatan, ketagihan dadah dan tuberkulosis.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai program kesihatan antaranya Iltizam Selangor Sihat yang menawarkan bantuan rawatan asas sehingga RM500, perlindungan insurans sehingga RM5,000 serta khairat kematian RM1,000 kepada golongan berpendapatan rendah.

Penduduk Selangor turut ditawarkan saringan kesihatan percuma Selangor Saring bagi mengenal pasti penyakit kencing manis, darah tinggi, sakit jantung dan buah pinggang selain Program Kanser Selangor yang menawarkan diagnosis, rawatan dan pemulihan barah.

 

 


Pengarang :