EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Insentif Subsidi Rawatan Psikiatri pada 30 November 2022 di Dewan Foyer, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), Shah Alam. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Selangor sedia 700 slot subsidi rawatan psikiatri

SHAH ALAM, 30 NOV: Kerajaan Negeri menyediakan 700 slot subsidi rawatan pakar psikiatri kepada orang ramai yang mahu membuat saringan kesihatan mental.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata sebanyak RM222,600 diperuntuk dengan anggaran RM200 satu slot, terhad lima rawatan setiap pesakit.

“Inisiatif ini memberi alternatif yang lebih cepat kepada individu golongan berpendapatan rendah (B40).

“Kerajaan Negeri akan menanggung kos saringan, caj konsultasi pakar psikiatri, rawatan psikoterapi asas dan ubat-ubatan bagi dua minggu pertama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Insentif Subsidi Rawatan Psikiatri di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini hari ini.

Siti Mariah berkata program itu turut mendapat kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UiAM), pakar psikiatri daripada Persatuan Psikiatri Malaysia dan Klinik Selcare.

Menurutnya, individu yang ingin mendapatkan rawatan berkenaan perlu melengkapkan saringan awal menerusi aplikasi langkah masuk dengan selamat (SELangkah).

“Berdasarkan kelayakan ujian saringan awal, pemohon boleh menetapkan pilihan klinik Selcare di aplikasi itu bagi saringan kedua. Pemohon yang layak akan dirujuk kepada pakar psikiatri untuk rawatan lanjut.

“Kerajaan Negeri berharap insentif subsidi rawatan psikiatri ini dapat melengkapi usaha kerajaan persekutuan dalam menangani masalah kesihatan mental dan mengurangkan beban hospital kerajaan,” katanya.


Pengarang :