EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau (dua, kanan) dan EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni (tiga, kanan) bergambar bersama penerima sumbangan sempena Majlis Perasmian Simbolik Dana Program Santuni Pusat Kebajikan di Pertubuhan Kebajikan Darul Wardah Selangor Seksyen 30, Shah Alam pada 22 November 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Tampung kos operasi, RM130,000 disalur kepada 26 rumah kebajikan

Oleh Suhaila Shahrul Annuar

SHAH ALAM, 22 NOV: Sejumlah RM130,000 diperuntuk kepada 26 rumah kebajikan di negeri ini bagi memperkasa agenda kebajikan masyarakat.

EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau berkata sumbangan disalurkan menerusi Program Santuni Rumah Kebajikan dengan setiap rumah menerima RM5,000.

“Program Santuni Rumah Kebajikan antara inisiatif menyantuni golongan kurang bernasib baik seperti penghuni rumah perlindungan, warga emas, anak yatim piatu dan orang kurang upaya (OKU).

“Kerajaan Negeri sedia maklum mengenai peningkatan kos operasi dan pembangunan rumah kebajikan. Geran peruntukan ini diharap sedikit sebanyak memberi kelegaan dan menampung kos diperlukan,” katanya.

Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis perasmian dan simbolik penyerahan peruntukan program santuni pusat kebajikan Selangor di sini, hari ini.

Katanya, tahun ini juga Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih RM2 juta bagi membantu 85 persatuan, pertubuhan bukan kerajaan dan pusat kebajikan menjayakan pelbagai program.

Sumbangan disalurkan menerusi program Dana Sukarelawan Kebajikan, Program Sinergi Prihatin dan Program Pusat Kebajikan Lestari.


Pengarang :