EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud (kanan) ditemani Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) Gan Pei Nei menyampaikan sijil kepada graduan Anak Istimewa Selangor (AnIS) sempena majlis perasmian sambutan Hari Kanak-Kanak anjuran YAWAS di Prasekolah AnIS Seksyen 7, Shah Alam pada 27 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: YaNIS beri peluang syarikat korporat bantu anak istimewa

SHAH ALAM, 28 NOV: Penubuhan Yayasan Insan Istimewa Selangor (YaNIS) membolehkan lebih ramai anak-anak istimewa dibantu, kata EXCO pembangunan wanita dan keluarga.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata tujuan yayasan itu ditubuhkan untuk menggalakkan badan korporat memberi sumbangan sekali gus terlibat dalam pendidikan anak-anak istimewa.

“Tujuan YaNIS ini adalah bagi mendapatkan dana lebih daripada korporat supaya mempunyai keupayaan menyeluruh untuk membantu golongan anak-anak istimewa tersebut.

“Dengan adanya yayasan ini, pihak swasta boleh menggunakan dana tanggungjawab sosial korporat (CSR) supaya dapat membantu program dianjurkan kerana peruntukan sedia ada tidak mencukupi kerana program AnIS semakin mendapat perhatian,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Hari Kanak-Kanak anjuran Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) di Pusat Prasekolah AnIS, Seksyen 7 di sini, semalam.

Dato’ Menteri Besar dalam Pembentangan Belanjawan 2023 mengumumkan penubuhan YaNIS dengan peruntukan RM4 juta pada tahun depan.

Penubuhan yayasan yang dikendalikan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri terhadap usaha pemberdayaan anak-anak istimewa Selangor.


Pengarang :