Sistem video bantuan pengadil (VAR) dalam bola sepak moden bertujuan membantu pegawai pengadilan mengurangkan kesilapan ketika mengadili perlawanan berstatus tinggi. Foto FIFA
AGENDASUKANKINI

FAM perkenal sistem VAR dalam Piala FA, Piala Malaysia musim depan

PETALING JAYA, 7 NOV:  Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersedia memperkenalkan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) dalam kancah saingan Liga Malaysia 2023 dengan Piala FA dan Piala Malaysia dipilih sebagai medan percubaan.

Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata badan induk itu kini dalam proses penelitian dan perbincangan untuk merealisasikan hasrat tersebut yang bakal menyaksikan arena bola sepak negara mengorak satu lagi langkah ke hadapan.

“Buat masa sekarang, kita cuma bincangkan sama ada untuk mengadakan VAR pada 2023 bagi Piala FA dan Piala Malaysia, belum dalam saingan liga.

“Setakat ini, semua Exco bersetuju untuk kita gunakan VAR bagi kedua-dua kejohanan itu dan perkara ini bergantung kepada Jawatankuasa Teknikal FAM diterajui Datuk S. Sivasundaram,” katanya pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali keenam bagi penggal 2021-2025 di Wisma FAM di Kelana Jaya, hari ini.

Pada masa sama, Sivasundaram berkata elemen yang perlu dititikberatkan dalam pelaksanaan VAR adalah kos yang mencecah jutaan ringgit selain kualiti capaian Internet di venue dan kemampuan dari segi peralatan melibatkan aspek penyiaran.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Presiden FAM berkata penggunaan VAR bagi kedua-dua saingan Piala FA dan Piala Malaysia mungkin tertakluk kepada perlawanan-perlawanan tertentu seperti peringkat separuh akhir dan akhir.

“Perkara ini kita perlu berbincang dengan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) kerana mereka adalah badan pentadbir Liga Malaysia,” katanya sambil memaklumkan beberapa pengadil tempatan akan dihantar menyertai kursus VAR selama enam hingga sembilan bulan.

Baru-baru ini, FAM telah mengadakan perjumpaan bersama dua syarikat pembekal VAR iaitu Hawk-Eye Innovations dan Mediapro bagi mendapatkan butiran dan data penting mengenai teknologi itu yang digunakan secara meluas di peringkat antarabangsa.

Hawk-Eye Innovations dan Mediapro bukan lagi nama asing dalam teknologi VAR apabila kepakaran mereka digunakan dalam kancah saingan liga Eropah dan kejohanan peringkat benua.

Dalam perkembangan lain, Mohd Yusoff berkata FAM menunggu kata putus daripada Persatuan Bolasepak Qatar (QFA) untuk menghantar skuad Bawah 16 Tahun (B-16) kebangsaan berlatih selama sebulan di sana sebagai persediaan menghadapi Piala Asia B-17 2023 yang dijadual berlangsung pada Mei.

Selain itu katanya Jawatankuasa Eksekutif FAM turut bersetuju melantik Soleen Al-Zou’bi dari Jordan sebagai Ketua Jurulatih skuad wanita kebangsaan yang baharu berkuat kuasa Disember ini menggantikan Jacob Joseph, sementara Noor Zaidi Rohmat sebagai pengendali baharu Skuad Projek FAM-MSN menggantikan Hassan Sazali Waras. – BERNAMA


Pengarang :