Sekinchan menawarkan pelbagai produk pelancongan menarik seperti makanan laut, pemandangan sawah padi dan produk industri kecil dan sederhana. Foto SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Geran RM20,000 dorong penggiat industri aktif promosi pelancongan negeri

SHAH ALAM, 28 NOV: Tawaran geran RM20,000 menyuntik semangat penggiat industri untuk aktif mempromosikan produk pelancongan negeri bagi menarik lebih ramai pelawat seiring Tahun Melawat Selangor pada 2023.

Menurut timbalan pengerusi Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Selangor, insentif disediakan melalui Belanjawan Selangor 2023 mampu memacu semula industri dalam fasa pascapandemik.

“Pertandingan ‘pitching’ promosi pelancongan Selangor adalah satu perkara yang bagus dan amat dialu-alukan bagi menyemarakkan sektor yang paling awal terjejas semasa pandemik Covid-19.

“Sektor ini juga yang paling akhir dibenarkan beroperasi berikutan penutupan pintu sempadan negara disebabkan beberapa fasa perintah kawalan pergerakan. Jadi, insentif ini sememangnya memberi kelegaan kepada pemain industri pelancongan.

“Di peringkat kami, saya akan maklumkan kepada kira-kira 500 ahli Matta Selangor untuk mengambil peluang ditawarkan supaya industri pelancongan Selangor kembali rancak,” kata Mohd Rezwan Alias ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau berharap supaya proses permohonan geran berkenaan mudah dan cepat tanpa melibatkan kertas kerja.

“Seeloknya jika badan pelancongan negeri (Tourism Selangor) mengadakan pertemuan dengan pemain industri bagi mempercepat lagi proses permohonan,” katanya.

Mohd Rezwan menambah pihaknya akan mengadakan program promosi di Jogjakarta, Indonesia bulan depan bagi mengetengahkan kepelbagaian produk pelancongan terbaharu Selangor.

“Kita juga mahu beri informasi kepada rakyat negara sana bahawa situasi Covid-19 di Malaysia sudah terkawal dan mereka tidak perlu bimbang datang ke Selangor untuk melancong.

“Ini kerana pelancong dari Indonesia antara yang paling ramai datang ke Selangor sebelum wabak melanda,” katanya.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk dana RM6 juta bagi memperkasa industri pelancongan negeri.

Selain pertandingan ‘pitching’, dua kempen promosi pelancongan dilaksanakan iaitu ‘Pusing Selangor Dulu!’ bagi domestik manakala pasaran antarabangsa ‘Splendid Selangor, Take Me Anywhere’.

Acara mega Konvensyen Global Tourism Selangor 2023 pula diteruskan dengan berkonsep peniaga kepada pelanggan menerusi peruntukan RM1 juta.


Pengarang :