Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap ketika sidang media Kejohanan Golf Selangor Masters di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 22 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Golf: Shahriffuddin Ariffin, Paul San antara 135 pemain berentap dalam Selangor Masters

PETALING JAYA, 22 NOV: Shahriffuddin Ariffin dan Paul San antara 135 pemain profesional dan amatur berentap dalam Kejohanan Golf Selangor Masters 2022 di Kelab Golf Seri Selangor dekat sini, mulai esok hingga 26 November.

Jelajah Pembangunan Asia (ADT) tajaan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu menawarkan hadiah keseluruhan AS$150,000 (RM687,000).

Dato’ Menteri Besar berkata peluang menganjurkan kejohanan sempena sambutan Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ke-77 dimanfaatkan sebaiknya selepas dua tahun tiada acara golf profesional dianjurkan.

“Pandemik Covid-19 pada 2020 hingga 2021 menghalang kita daripada menganjurkan sebarang acara golf profesional seumpama ini.

“Apabila kami mendengar ada peluang untuk menganjurkan acara ADT, kita segera menerima tawaran itu. Walaupun mendapat notis saat akhir, kita agak teruja kerana dapat menganjurkan acara profesional sekali lagi,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, beliau turut meletak harapan terhadap pemain profesional negara untuk melakar kejayaan pada kejohanan tersebut.

“Sudah pasti kita mahu beliau (Shahriffuddin dan Paul) dapat menaikkan kedudukan sekali gus menaikkan profil pemain Malaysia. Pada masa sama boleh memperkenalkan serta mempopularkan kelab golf di Selangor,” katanya.

Shariffuddin, 22, dan Paul, 25, kini masing-masing berada pada kedudukan ketujuh dan kesembilan untuk Order of Merit ADT.

Mereka harus memanfaatkan peluang bermain di tempat sendiri untuk kekal dalam 10 pemain profesional terbaik sehingga akhir tahun ini bagi mendapatkan kad bersaing dalam Jelajah Asia 2023.

 


Pengarang :