Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berarak bersama penyokong ke pusat penamaan calon bagi Parlimen Tambun di Dewan Sri Kledang Institut Latihan Perindustrian Meru pada 5 November 2022. Foto Twitter Anwar Ibrahim
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Goncang PN, pesona Anwar di Tambun tukar naratif HARAPAN boleh menang

SHAH ALAM, 18 NOV: Pesona Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertanding di Parlimen Tambun menukar naratif daripada kerusi selamat Perikatan Nasional kepada kerusi boleh menang Pakatan Harapan (HARAPAN).

“Pesona Anwar di Tambun jelas menukar kerusi selamat PN menjadi kerusi boleh menang HARAPAN. Naratif Tambun akan menghantar calon perdana menteri ke Putrajaya mewujudkan keghairahan baharu dalam kalangan pengundi,” menurut firma kaji selidik terkenal Ilham Centre dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan sama menyebut Anwar sebagai calon perdana menteri menjadi ‘selling point’ terbesar kepada HARAPAN yang jauh meyakinkan berbanding calon gabungan lain.

Perkara berkenaan didorong faktor beliau belum pernah menduduki jawatan itu selain pandangan umum terhadap kemampuannya memimpin negara ketika berdepan kesuraman ekonomi global.

Kaji selidik itu menyebut reputasi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sepanjang 14 bulan sebagai perdana menteri dijadikan modal BN sepanjang kempen tetapi pergeseran dalaman menggagalkan usaha beliau sebagai ‘poster boy’.

Mengikut kenyataan tersebut, tindakan Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menukar beberapa calon mencetuskan “tindak balas yang sukar dikawal” sehingga berisiko berlaku sabotaj membabitkan enam kerusi.

Menurut kaji selidik lagi, Ismail didesak membubar parlimen kerana BN dijangka berdepan pilihan raya umum ke-15 dalam keadaan kelebihan berpihak kepada mereka berikutan kejayaan dalam pilihan raya negeri Johor dan Melaka.


Pengarang :