Gandingan Selangor Muhammad Bazli Alias (kiri) dan Muhammad Haziq Chek Mat (kanan) merangkul emas dalam acara ping pong berkerusi roda kelas 1-3 (kategori kecacatan fizikal) menumpaskan 3-2 pada aksi perlawanan akhir sempena Para SUKMA XX MSN 2022 di Bukit Jalil pada 3 November 2022. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Guru tahfiz Selangor raih emas acara ping pong beregu Para Sukma

KUALA LUMPUR, 3 NOV: Guru tahfiz, Muhamad Bazli Alias, tidak menyangka penampilan sulung pada temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) ternyata membawa tuah kepadanya.

Ini selepas Muhamad Bazli, 33, yang bergandingan bersama Muhammad Haziq Chek Mat, 23, menyumbang emas buat Selangor dalam acara ping pong beregu lelaki berkerusi roda kelas 1-3 (kecacatan fizikal).

Mereka menumpaskan pasangan Perak, Muhamad Faiz Fazmi Amir Hamzah-Nur Izhar Idham, 11-3, 10-12, 12-10, 9-11, 11-8, pada aksi final yang cukup mendebarkan di Gimnasium 2, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, hari ini.

Pengajar Sekolah Tahfiz Anak Yatim AlKitab di Beranang, Selangor, yang mengalami masalah saraf tunjang pada usia 13 tahun, bersyukur apabila usaha gigih sejak dua tahun lepas bagi menghadapi Para Sukma membuahkan hasil sehingga berjaya menaiki puncak tertinggi podium.

“Walaupun kami tidak mengetahui sama ada Para Sukma tetap dilangsungkan atau tidak selepas negara mengalami Covid-19, kami tetap gigih dalam sesi latihan. Saya tidak tahu nak cakap apa lagi, usaha kami akhirnya berbaloi,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan akhir.

Justeru, beliau berharap agar kejayaan diraihnya itu dapat membuka mata Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) untuk kembali mempertimbangkan menghantar atlet daripada kategori berkenaan mewakili negara di peringkat antarabangsa selepas kali terakhir melakukannya pada Sukan Para ASEAN 2017 di sini.

Dalam pada itu, Muhammad Haziq, yang kini menuntut dalam bidang perniagaan antarabangsa di sebuah universiti swasta, berkongsi pandangan sama apabila mahu MSN menghantar pemain dalam kategori sama bagi menimba pengalaman beraksi pada mana-mana kejohanan di luar negara. – BERNAMA


Pengarang :