Orang ramai beriadah di Pantai Remis, Jeram Kuala Selangor pada 11 Julai 2022. Foto BERNAMA
PBTSELANGOR

Hadkan aktiviti rekreasi air, pantai ketika musim tengkujuh

Oleh SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 30 NOV: Orang ramai dinasihat supaya mengehadkan aktiviti rekreasi air dan pantai berikutan fenomena air pasang dan hujan lebat yang berlaku ketika ini.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Cheremi Tarman berkata penduduk juga perlu mematuhi arahan pihak berkuasa keselamatan.

“Ini berikutan perubahan cuaca akibat daripada musim monsun Timur Laut (tengkujuh) yang melanda negara ketika ini, semua aktiviti rekreasi air dan persisiran pantai perlu dihadkan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan pihak berkuasa tempatan itu semalam.

Cheremi turut menyarankan mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir mendapatkan maklumat cuaca semasa di portal Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan menyimpan nombor perhubungan Balai Polis dan Bomba terdekat.

“Surat arahan kepada semua agensi persekutuan dan negeri telah dikeluarkan untuk semua pihak bersiap siaga sekiranya banjir terjadi lagi,” ujarnya.

Sebelum ini, MetMalaysia meramalkan Selangor berdepan kadar taburan hujan antara 100 hingga 400 milimeter (mm) ketika monsun Timur Laut mulai pertengahan bulan ini hingga Disember.

Cheremi turut memaklumkan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan MPS bakal mengadakan sesi dialog awam bersama badan pengurusan strata dan wakil penduduk bagi membincangkan pengurusan sisa pepejal dan kebersihan awam pada 5 Disember.


Pengarang :