Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 26 Oktober 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hakim perintah Siti Bainun bela diri pertuduhan abai, aniaya Bella

SHAH ALAM, 24 NOV: Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali diperintah membela diri atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella.

Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi membuat keputusan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap dua pertuduhan itu, lapor Kosmo Online.

Bermula Mac lalu, seramai 22 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan antaranya Bella, pakar psikiatri Dr Wan Asyikin Wan Azlan dan pakar bedah plastik Dr Salmi Mohamed Shukur.

Turut memberi keterangan bekas penghuni Rumah Bonda Yasmin Nahar Mahmood, 19, yang memberitahu mahkamah Bella didera Siti Bainun antara Mac 2021 hingga 24 Jun 2021.

Siti Bainun menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Pengarang :