Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barang keperluan asas yang dijual murah menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Sungai Kandis di Pangsapuri Taman Tun Teja, Shah Alam pada 22 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Hampir separuh barangan jualan murah di DUN Sungai Kandis habis dalam sejam

SHAH ALAM, 22 NOV: Hampir separuh barangan asas program Jelajah Ehsan Rakyat di Pangsapuri Taman Tun Teja di sini habis dijual dalam tempoh sejam sejak dibuka pada 9 pagi tadi.

Penyelaras program Mohd Ridwan Azmi berkata acara jualan murah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis itu sepatutnya bermula 10 pagi itu diawalkan berikutan sambutan menggalakkan orang ramai yang beratur panjang.

“Kita sasar boleh dapat RM20,000 sekiranya habis semua barangan dan selepas sejam hampir separuh terjual jadi anggaran dalam tangan kira-kira RM10,000.

“Pertama kali kita anjurkan program di sini dan Alhamdulillah sambutan penduduk amat baik dan meminta kita adakan secara kerap, insya-Allah akan diusahakan,” katanya kepada SelangorKini.

Program anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bermula 6 September sehingga 6 Disember menawarkan jualan harga barangan makanan pada harga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

Jelajah jualan dengan lori itu menyediakan barangan asas seperti ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan https://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :