SHAH ALAM, 3 NOV: Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor dijangka mudah memenangi kerusi parlimen di selatan dan tengah negeri pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu berkata gabungan itu mungkin berdepan ujian getir untuk menawan kerusi di utara Selangor.
“Kita tahu taburan kemenangan dan undi tidak seimbang, ada tempat yang kita lihat mudah menang terutama di Selangor selatan dan tengah Selangor.
“Kita akan hadapi ujian lebih getir di utara Selangor, oleh itu kita seimbangkan tenaga, kewangan dan kuasa supaya kita bantu calon di sebelah utara untuk menang dalan PRU akan datang,” katanya.
Bercakap pada majlis pengenalan calon-calon HARAPAN Selangor di Dewan Raja Muda Musa di sini malam tadi, Mohamad Sabu menegaskan gabungan itu nekad mengembalikan mandat rakyat pada 2018.
Beliau turut mengingatkan semua calon parlimen di negeri ini untuk mengelakkan diri daripada amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan nepotisme.
“Oleh itu, menjadi calon dan (jika) menang nanti kita semua memikul tanggungjawab penting untuk membela rakyat serta membebaskan (negara) daripada cengkaman terutama ekonomi yang melanda sekarang,” katanya.
Utara Selangor merangkumi Kuala Selangor, Tanjong Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam.