Calon Pakatan Harapan (HARAPAN ) Parlimen Ampang Rodziah Ismail melawat pusat pembuangan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Razali, Ampang Jaya pada 19 November 2022. MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

LANGSUNG: HARAPAN dakwa PN, BN bina barong dan kempen, langgar peraturan pilihan raya

Lebih 3.6 juta layak membuang undi di seluruh Selangor bagi memilih 22 orang anggota Dewan Rakyat. Orang ramai diseru keluar awal kerana cuaca diramal hujan yang boleh mencetuskan kesesakan.

Selangorkini membawa perkembangan terkini daripada beberapa kerusi parlimen terpilih mulai pusat pembuangan undi dibuka pada 8 pagi hingga ia ditutup jam 6 petang.

Laporan ini disediakan oleh Norrasyidah Arshad, Abdul Rahim Sabri, Suhaila Shahrul Annuar, Azian Aziz, Diana Abd Wahab dan Shamz Johan. Jurufoto di lokasi Hafiz Othman, Ahmad Zakki Jilan, Remy Arifin, Yusni Ariffin dan Nur Adibah Ahmad Izam.

Laporan jam 7.45 hingga 10.45 pagi DI SINI 


2.40 petang: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Sungai Buloh  mempersoalkan tatacara operasi piawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dilihat melengah-lengahkan proses pemilihan di beberapa pusat mengundi kerusi itu.

Datuk R Ramanan berkata tindakan itu menyebabkan pemilih terpaksa menunggu giliran hingga lima jam, malah ada yang pulang ke rumah selepas berputus asa menunggu.

“Adakah ini agenda Barisan Nasional? (Tindakan) ini salah. SPR kena adil. Kasihan penduduk yang terpaksa beratur lebih tiga jam,” katanya di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 8, Kota Damansara

Calon HARAPAN Ampang Rodziah Ismail agak berpuas hati dengan proses pengundian di kawasan parlimen tersebut.

Berdasarkan lawatannya ke pusat-pusat pengundian di sekitar Ampang, jumlah pengundi yang menunaikan tanggungjawab memang ramai.

“Cuma saya harap kebajikan pengundi dapat ditambah baik, antaranya menambah khemah agar pengundi tidak kepanasan atau dibasahi hujan kerana ada satu dua pengundi yang saya dengar pengsan.

“Satu lagi laluan untuk pengundi di beberapa tempat tidak jelas dan ada kalangan mereka tertanya-tanya saluran masing-masing. Harap selepas ini saluran lebih teratur,” katanya di Dewan Orang Ramai Taman Dato’ Ahmad Razali, Ampang.

Separuh pemilih sudah mengundi

2.30 tengah hari: Suruhanjaya Pilihan Raya memaklumkan 50 peratus pemilih seluruh negara telah menunaikan tanggungjawab setakat 1 tengah hari tadi.

Sedia kerusi elak warga emas pengsan

2.20 petang: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dr Sathia Prakash bimbang warga emas mungkin pengsan selepas beratur lama dan mengadu kepada pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya bertugas di Sekolah Rendah Agama Serendah, Hulu Selangor.

Susulan itu, kakitangan yang mengendalikan proses pengundian menyediakan kerusi untuk golongan berkenaan.

Selepas itu, rata-rata pengundi di saluran tiga yang beratur lebih sejam setengah memuji keprihatinan ditunjukkan Dr Sathia.

Surirumah Juhana Jaafar, 55, berkata biarpun kerusi hanya diletakkan ketika gilirannya sudah dipanggil petugas SPR, namun usaha calon HARAPAN itu dipuji kerana memikirkan kebajikan pengundi yang rata-rata sudah memasuki kategori warga emas.

“Kami beratur sehingga sakit kaki. Proses pengundian terlalu perlahan menyebabkan pengundi terpaksa beratur lama. Malah ada yang pulang tanpa mengundi kerana tidak sanggup menunggu,” katanya.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Sungai Buloh Datuk R Ramanan selesai membuang undi di Sekolah Menengah Kuen Cheng, Kuala Lumpur, pada jam 8.10 minit pagi.

Calon HARAPAN Bangi Syahredzan Johan yang berbaju merah, sebagai lambang warna gabungan tersebut, menunjukkan jari berdakwat selepas membuang undi di Sekolah Menengah Taman SEA, Petaling Jaya, jam 11 pagi.

Penyandang kerusi HARAPAN Puchong Gobind Singh Deo selesai menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan St Xavier Cawangan, Pulau Pinang pagi tadi.

Semua maklumat diambil daripada media sosial tiga calon berkenaan.

Dua parti langgar peraturan bina barung

2.00 petang: Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) didakwa melanggar peraturan pilihan raya apabila membina barung di luar beberapa pusat pembuangan dalam kawasan parlimen Gombak.

Menurut Sekretariat Kempen Amirudin Shari, calon Pakatan Harapan, dua gabungan lawan membina pondok-pondok barung dan penyokong mereka berkempen menggunakan logo parti masing-masing di lokasi berikut:

  • Dewan Beringin
  • Taman Seri Gombak
  • Pinggiran Batu Caves
  • Taman Gombak
  • Sekolah Vokasional Sungai Pusu

“(Tindakan) ini adalah kesalahan yang jelas melanggar peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya kerana waktu kempen sudahpun berakhir,” kata kenyataan tersebut.

“Malah, pondok barung tidak lagi diperlukan kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai kaunter-kaunter semakan di setiap pusat mengundi untuk membantu warga Gombak dan Malaysia yang akan mengundi.”

Cuaca di pusat mengundi Sekolah Rendah Agama Pekan Meru kembali mendung. Namun pengundi masih lagi berpusu-pusu memasuki kawasan pengundian tersebut.

Ahmad Ibrahim, 68, menunggu isteri dan ahli keluarganya di Masjid Asy-Syarif, bersebelahan pusat mengundi itu sebelum bersama-sama mengundi di situ.

“Saya berharap kerajaan menyediakan pekerjaan, menangani kos sara hidup yang tinggi, menyediakan rumah mampu milik. Sekarang hendak buat pinjaman rumah, kalau berkongsi dua orang (untuk permulaan), tidak mampu,” kata nelayan itu lagi.

Dari Melaka, dua beradik teruja mengundi di Ampang

1.40 tengah hari: Dua beradik Nurul Syafika Izzati Ahmad Fuad, 24, dan Khairina Arisya Ahmad Fuad, 21, dari Durian Tunggal, Melaka teruja mengundi kali pertama di Dewan Orang Ramai Dato’ Ahmad Razali, Ampang.

Datang ke pusat mengundi pada pukul 11.30 pagi, pelajar Universiti Multimedia Melaka Nurul Syafika Izzati  dan adiknya Khairina Arisya yang bekerja di Hotel Ames Melaka berpuas hati dengan kelancaran proses pengundian.

“Kami hanya beratur 15 minit dan proses mengundi selesai,” katanya yang berharap parti yang menang akan memerintah dengan adil dan bebas rasuah.

Walau teruja, pekerja Pusat Jagaan Orang Tua Kuala Selangor terpaksa menunggu giliran lebih tiga jam di Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor.

Farah Izzatul Asshira Said, 26, berkata walaupun berasa ragu untuk keluar mengundi, namun rasa tanggungjwab terhadap negara mengatasi segalanya.

“Rasa berbaloi apabila ada dakwat di jari. Rasa seronok, bercampur terharu. Sampai sekarang tangan masih menggigil. Inilah pertama kali saya mengundi,” katanya kepada SelangorKini.

Hampir separuh sudah mengundi

1.30 tengah hari: Suruhanjaya Pilihan Raya memaklumkan 42 peratus pemilih seluruh negara telah menunaikan tanggungjawab setakat 12 tengah hari tadi.

Jualan murah, INSAN faktor rakyat sokong

1.20 tengah hari: Di kawasan parlimen Sungai Besar, seorang pengguna Twitter menyatakan sokongan kepada calon Pakatan Harapan Saipolyazan Mat Yusop dengan memuatkan foto di luar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar.

Calon Parlimen Selayang William Leong menyifatkan jualan murah Jelajah Ehsan Rakyat dan perlindungan percuma Skim Insurans Am Selangor (INSAN) antara faktor rakyat sokong Pakatan Harapan.

Beliau gembira orang ramai keluar mengundi di kawasan yang disandangnya.

“Cuaca baik juga antara faktor ramai pengundi keluar membuang undi untuk Parlimen Selayang. Kita yakin mampu kekal beri khidmat cemerlang di Selayang,” katanya ketika ditemui di bilik gerakan gabungan itu di Batu 16, Rawang.

Sementara itu, kakitangan swasta Mohd Khairi Zabidi, 37, tetap menunaikan tanggungjawab mengundi walaupun terpaksa berjalan menggunakan tongkat selepas patah kaki akibat kemalangan dua bulan lalu.

Selagi berdaya beliau cuba menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia, katanya kepada Selangorkini.

“Jadi bagi sesiapa yang sihat, sempurna dan layak untuk mengundi, tunaikanlah tanggungjawab anda kerana ini penting untuk masa depan negara,” katanya di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Sungai Manggis, Banting.

Wakil rakyat gembira anak muda keluar

1.00 tengah hari: Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli gembira melihat kehadiran ramai pemilih muda di pusat mengundi Sekolah Menangah Sains Kuala Selangor.

“Sebaik tiba saya melihat ramai pengundi saluran lima, enam. Selalu kita dengar mereka keluar undi lambat tetapi setakat jam 11 lebih ini sudah ramai datang. Ini petanda yang bagus,” katanya yang membuang undi di pusat berkenaan pagi tadi.

Aliran trafik mulai sesak di hadapan Petronas Bukit Nanding menuju Sekolah Rendah Agama Dusun Nanding, Hulu Langat susulan semakin ramai penduduk keluar mengundi.

Cuaca cerah di Jugra membolehkan lebih ramai penduduk sekitar keluar mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Jugra, Kuala Langat.

Cekal mengundi walau sakit lutut

12.40 tengah hari: Lebih 10 kali mengundi, Basirah Molabush, 74, dari Kampung Sungai Serai, Hulu Langat tetap bersemangat keluar mengundi walaupun berdepan masalah sakit lutut.

“Saya sudah mengundi sejak dari muda. Hari ini, saya datang dengan kawan, anak hantar,” katanya yang membuang undi di Sekolah Rendah Sungai Serai, lokasi beliau ditempatkan ketika banjir besar tahun lepas.

“Saya tinggal sehelai sepinggang, air naik setinggi tiga meter dan tinggal di sini sementara.”

12.30 tengah hari: Suruhanjaya Pilihan Raya memaklumkan 31 peratus pemilih seluruh negara telah menunaikan tanggungjawab setakat 11 pagi tadi.

Cuaca cerah, Gombak mengundi

12.20 tengah hari: Cuaca cerah di kawasan parlimen Gombak menggalakkan ramai pengundi keluar menentukan pilihan masing-masing. Syazwan Rahman memuatkan foto jarinya bertanda dakwat biru di depan gegantung calon Pakatan Harapan Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter.

“Pengundi Gombak, selesai,” coretnya.

Di media sosial sama, Nuraini Rudi yang selesai membuang undi di Sekolah Menengah Teknik Gombak gembira proses berjalan lancar.

“Saya beratur di saluran pada pukul 10.30 dan selesai pada pukul 11. Proses dan masa sudah bertambah baik. Terima kasih banyak kepada ejen tempat mengundi, sukarelawan dan Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya.

3,000 anak muda keluar mengundi

12.00 tengah hari: Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya di pusat mengundi Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor menganggarkan hampir 3,000 pengundi muda saluran lima dan enam hadir setakat jam 11 pagi.

Calon Pakatan Harapan Parlimen Subang Wong Chen selesai membuang undi pagi tadi. Beliau turut menyeru orang awam tunaikan tanggungjawab keluar mengundi.

Lalu lintas mulai sesak

11:40 pagi: Aliran lalu lintas di hadapan pusat mengundi Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor agak sesak berikutan jumlah pemilih semakin meningkat. Begitu juga di sekitar Pekan Kapar susulan semangat orang ramai keluar membuang undi.

Cuaca di Kuala Selangor dan Selayang panas, sementara di Hulu Langat cerah. Mendung di Kuala Langat.

Pengangkutan ke pusat mengundi

11.20 pagi: Setakat 10 pagi, dua jam selepas pusat pengundian dibuka, kira-kira 20 peratus pemilih keluar memangkah calon masing-masing, maklum Suruhanjaya Pilihan Raya di Twitter rasmi.

Calon Pakatan Harapan Parlimen Puchong Yeo Bee Yin menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk membawa penduduk sekitar ke pusat mengundi parlimen itu.

  • Seri Kembangan: 012-676 972
  • Seri Serdang: 016-221 4784
  • Puchong: 012-645 8891 / 019-454 7894 / 017-228 0043
  • Sungai Besi Indah, Bukit Belimbing: 011-3937 3008

Selamat bertugas SPR

11:00 pagi: Dato’ Menteri Besar mengucapkan selamat mengundi kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya pengundi di Selangor dan Gombak.

“Selamat bertugas kepada semua petugas Suruhanjaya Pilihan Raya, petugas keselamatan dan petugas media serta jentera Pakatan Harapan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter.

“Laksanakan tanggungjawab anda semua sebaiknya demi Malaysia,” katanya yang bertanding di kerusi Gombak.


Pengarang :