PENDAPATRENCANA

HARAPAN di depan, BN-PN bertarung, blok Borneo penentu

Sedutan laporan firma penyelidik Ilham Centre mengenai kedudukan parti-parti bertanding sepanjang tempoh berkempen mulai 5 November lalu. Laporan yang bertajuk “HARAPAN di Hadapan, BN & PN Bertarung di Kerusi Melayu, Blok Borneo Penentu” diterbitkan sehari sebelum pengundian 19 November.

Pendahuluan

PRU15 diadakan ketika negara baru sahaja enam bulan keluar daripada fasa pandemik Covid-19 dan dengan krisis kenaikan harga minyak, harga barang serta peningkatan kos sara hidup begitu dirasai oleh rakyat.

Walaupun Kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berusaha keras untuk menangani segala krisis, tekanan domestik khususnya dalaman parti beliau, Umno telah menatijahkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.

Memasuki ‘mood’ pilihan raya pada waktu ini, emosi dan sentimen rakyat terbelah dan terpisah apabila Jabatan Metrologi Malaysia meramalkan negara berdepan dengan hujan lebat berterusan dan bencana banjir besar akibat pertukaran monsun.

Walaupun pada peringkat awalnya mendapat bangkangan daripada banyak pihak namun Parlimen terpaksa dibubarkan juga demi memberikan semula mandat kepada rakyat memilih kepimpinan baru untuk tempoh lima tahun ke depan.

Pilihan raya umum kali ini disifatkan agak suram, tidak semeriah pilihan raya sebelum ini. Tidak dilatari dengan isu-isu panas melainkan rakyat secara paksa rela menyertai proses ini kerana Parlimen telah dibubarkan.

Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (HARAPAN), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Tanah Air (GTA)

Sejak awal BN dijangka berdepan PRU kali ini dengan keadaan bersedia. Selepas menang besar pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan PRN Johor, BN berterusan mendesak Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen atas pertimbangan kelebihan berpihak kepada mereka.

Segalanya berubah selepas calon diumumkan. BN gagal memanfaatkan sepenuhnya kelebihan membubarkan Parlimen dengan mengawal tempo pilihan raya ketika parti-parti saingan dilihat tidak bersedia dan terpecah.

Sepanjang tempoh berkempen, BN tidak memperlihatkan kesepakatan dan konsolidasi elit yang penting untuk menonjolkan imej perpaduan bagi membentuk persepsi meyakinkan kepada pengundi. Beberapa perkara menjejaskan hal tersebut.

Pertama, penguguran nama-nama besar dan ‘incumbent’ yang tidak dicalonkan semula. Ini bertambah parah apabila ada kalangan mereka bertanding menggunakan tiket parti lawan (Arau dan Maran) atau sebagai calon Bebas (Padang Besar). Ketidakhadiran MIC ketika majlis pengumuman calon dan penyerahan watikah BN turut mengundang pertanyaan.

Strategi mengemukakan 80 peratus muka baharu juga ‘backfired’ buat Umno. Dengan andaian bahawa strategi serupa ketika PRN Melaka dan Johor serta keputusan presiden akan disepakati oleh calon-calon yang diberi watikah telah membawa tindak balas di luar jangkaan parti terutamanya dalam kalangan yang sudah berkerja lama di akar umbi dan bahagian untuk memposisikan mereka sebagai calon wali namun tidak terpilih.

Masalah ‘housekeeping’ parti yang berterusan disebabkan ‘backlash’ mereka yang tidak terpilih menjadikan Umno berkecamuk dalam membuat persediaan dalam pilihan raya yang mereka sendiri tentukan.

Tindakan beberapa pimpinan Umno yang menyerang Datuk Seri Zahid Hamidi menggambarkan bagaimana situasi dalaman Umno yang terpecah serta hilang arah sepanjang tempoh berkempen.

Kenyataan terbuka presiden Umno bahawa hanya Yang di-Pertuan Agong menentukan siapa Perdana Menteri selepas PRU15 menguatkan spekulasi bahawa Ismail Sabri bukanlah PM seperti yang dicadangkan – sekaligus menjejaskan potensi menarik undi atas pagar dan pengundi baharu terhadap BN.

Faktor ketiadaan Datuk Seri Najib Razak sebagai ikon kebangkitan BN untuk menyatukan elit-elit parti dan pengaruh ‘Bossku’ yang berupaya menarik sokongan pengundi atas pagar serta pengundi baharu lenyap dalam PRU15. Ini sekaligus meletakkan paras moral jentera BN berada di tahap terendah.

Namun begitu, kelebihan jentera akar umbi dan sokongan kuat orang Melayu kepada Umno masih memberikan kelebihan yang signifikan kepada kekuatan Umno untuk menyumbang kerusi di kawasan majoriti Melayu buat BN.

HARAPAN pula masih bergerak secara ‘in-silo’. Sejak kemenangan pada PRU14 sehingga berdepan dengan banyak siri PRK dan PRN sebelum ini masalah jentera ini masih gagal dibentuk secara kolektif. Namun begitu, kembalinya Rafizi Ramli ke dalam HARAPAN bak tonik memulihkan moral dan kepercayaan aktivis yang kecewa dengan PH serta sokongan umum.

Strategi HARAPAN masih bergerak dengan tiga jentera parti utama yang berbeza dan terpisah. Sungguhpun begitu, ianya memberikan kelebihan kerana pengundi dapat membuat perbandingan dan perbezaan berbanding parti saingan yang sukar dibezakan antara calon PAS dan Bersatu dalam PN.

Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PM menjadi ‘selling point’ terbesar HARAPAN. Anwar antara ‘poster boy’ calon Pm yang dilihat menyakinkan berbanding calon gabungan parti lain.

Pertama beliau masih belum pernah menjadi PM. Kedua pandangan umum lebih yakin dengan kemampuan beliau memimpin negara ketika negara dijangka berhadapan dengan kesuraman ekonomi global.

Sentimen pengundi bandar terutamanya kelompok bukan Melayu masih kekal bersama HARAPAN. Kelompok ini sukar untuk mengubah pola sokongan mereka kepada parti lain kerana pilihan yang sangat sempit.

Manakala pengundi luar bandar kelompok Melayu masih terpecah dan sukar diperoleh oleh HARAPAN terutamanya dengan PN semakin memecahkan tabung undi tetap BN.

PN secara tiba-tiba menjadi ‘underdog’ memecahkan monopoli persaingan dua koalisi BN-HARAPAN. Ia dibantu dengan kekuatan pemasaran politik dan strategi jentera mereka yang agresif melalui kempen-kempen di media sosial dan cetak, serta bersemuka dengan diperkukuhkan dokongan jentera PAS yang tersusun dan kompak.

GTA jelas gagal untuk memberikan saingan kepada pakatan lain dan hanya berlegar di tiga kawasan; Langkawi, Jerlun dan Kubang Pasu walaupun bertanding di 121 kerusi Parlimen.

Kebergantungan kepada pengaruh Tun Dr Mahathir Mohamad yang tinggi tidak melimpahkan sokongan untuk GTA seperti yang diharapkan.

Sokongan Sabah dan Sarawak membentuk blok Borneo

Naratif memperkasakan hak Sabah dan Sarawak menjadikan PRU15 pemangkin pembentukan blok Borneo. Namun begitu hal tersebut menjadikan PRU15 bersifat ‘lokal’ yang digarap melalui perjanjian MA63 secara berlebihan berbanding melihat PRU sebagai platform untuk memilih kerajaan di peringkat persekutuan.

Sepanjang cerapan dilakukan, politik lokal Sabah dan Sarawak lebih cenderung kepada politik oligarki dalam konteks elit setempat. Walaupun isu-isu hak Sabah dan Sarawak diketengahkan, aspek calon masih menjadi faktor terbesar mempengaruhi bukan sahaja pengundi malah jentera parti.

Tiga angkubah terbesar yang melatari PRU15 di Sabah dan Sarawak ialah hubungan negeri-persekutuan, sentimen perkauman dan kewilayahan serta isu-isu setempat.

Berbanding Sarawak, kocakan politik Sabah lebih bergelora disebabkan perebutan kerusi antara BN-GRS, HARAPAN, Warisan dan beberapa parti lokal serta calon Bebas.

Sabah dan Sarawak berpotensi untuk menghantar calon Bebas ke Parlimen terutamanya di P181 Tenom dan P202 Sri Aman. Parti-parti baharu seperti Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) memberi tentangan yang signifikan kepada parti-parti besar dan utama di Borneo.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengangkat tangan calon Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari ketika Jelajah Mega HARAPAN Selangor di Dewan Serbaguna AU2, Ampang Jaya pada 16 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pesona Anwar, prestasi Ismail Sabri dan pencapaian Muhyiddin jadi taruhan

Sejak kempen bermula nama-nama ini diangkat sebagai taruhan oleh gabungan masing-masing, dijual sehabis mungkin. Berbanding nama besar mereka, manifesto yang ditawarkan kurang diangkat oleh mana-mana gabungan dalam siri-siri jelajah atau ceramah-ceramah dalam pilihan raya kali ini.

Pesona Anwar di Tambun jelas menukar kerusi selamat PN menjadi kerusi boleh menang HARAPAN. Naratif Tambun akan menghantar seorang Perdana Menteri ke Putrajaya mewujudkan keghairahan baharu dalam kalangan pengundi.

Reputasi cemerlang Ismail Sabri sepanjang 14 bulan menjadi Perdana Menteri dijadikan modal penting buat BN sepanjang berkempen. Namun begitu, pergeseran dalaman BN tidak berupaya memposisikan Ismail Sabri sebagai ‘poster boy’ yang meyakinkan dalam PRU kali ini.

Manakala PN berterusan memanfaatkan rekod pencapaian Muhyiddin sepanjang menerajui negara dalam tempoh krisis pandemik Covid-19 dulu. Aura ‘Abah’ dimanfaatkan sepenuhnya dengan mengembalikan nostalgia kepimpinan beliau menabur bantuan ketika rakyat dihimpit masalah Covid-19.

Memahami pengundi muda, kali pertama

Seramai tujuh juta atau 33 peratus daripada jumlah keseluruhan adalah pengundi kali pertama akan mengundi dalam pilihan raya kali ini. Kelompok ini ibarat anak dara pingitan yang menjadi rebutan semua pihak yang cuba untuk memikat perhatian mereka.

Sepanjang tempoh kempen dan kajian lapangan ini dijalankan, penyelidikan mendapati bahawa kelompok ini dikelaskan sebagai ‘wild voters’. Mereka tidak kekok berkongsi kecenderungan politik mereka secara terbuka. Tiada istilah undi adalah rahsia bagi mereka. Kecenderungan membuat keputusan mereka berbeza berdasarkan demografi dan lokaliti.

Kami mendapati pengundi muda luar bandar cenderung mengikuti jalur politik keluarga dan ibu bapa. Bagi pengundi muda bandar walaupun cuba dipengaruhi oleh pilihan keluarga, mereka kekal dengan pilihan masing-masing. Namun begitu majoriti mereka masih belum membuat keputusan.

Disebalik keghairahan dan keterujaan kelompok ini keluar mengundi tinggi, rata-rata responden yang ditemui menyatakan bahawa mengundi adalah bebanan dan tanggungjawab yang besar.

Ini kerana pendedahan terhadap politik dan demokrasi yang tidak cukup, kesedaran sivik yang rendah disamping semangat patriotik serta asas kenegaraan yang tidak seimbang.

Disediakan oleh
Hisommudin Bakar (Pengarah Eksekutif)
Mohd Azlan Zainal (Ketua Operasi)
Mohd Jalaluddin Hashim (Ketua Analitik)
Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim (Ketua Penyelidikan)
Mujibu Abd Muis (Felo Penyelidik)

Empat berita berkaitan:

 


Pengarang :