Bayang atau siluet (silhouette) sebahagian daripada penduduk Saujana Utama di hadapan bendera Pakatan Harapan (HARAPAN) ketika ceramah gabungan itu di Saujana Utama pada 14 November 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

HARAPAN garis dasar segera lindungi rakyat, struktur semula ekonomi

SHAH ALAM, 15 NOV: Pakatan Harapan (HARAPAN) berhasrat menggariskan beberapa dasar segera dengan mengutamakan jaminan perlindungan rakyat jika diberi mandat pada pilihan raya umum kali ini.

Calon HARAPAN Parlimen Kulim Bandar Bharu berkata antara yang akan dilaksanakan ialah mengkaji semula data penerima bantuan supaya lebih bersasar dan menstruktur semula ekonomi rakyat.

Datuk Seri Saifuddin Nasution menjelaskan data penerima sedia ada akan dibersihkan kerana di bawah pengurusan Barisan Nasional ada daripada memiliki kereta mewah yang baharu.

“Kita akan bersihkan semua dan akan masukkan segera bantuan dalam akaun rakyat. Dalam zaman pemulihan pandemik ini, kita masukkan terus dalam akaun, terpulang kepada rakyat hendak beli apa.

“Dalam pengiraan, jika diberikan mandat, dua minggu pertama mesyuarat kabinet akan umumkan langkah sasaran subsidi langsung kepada rakyat memerlukan,” katanya.

Beliau berucap pada program ceramah kelompok di Taman Saujana Utama di sini semalam yang turut dihadiri Pengerusi HARAPAN yang juga calon Parlimen Gombak Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari dan calon Sungai Buloh Datuk R Ramanan.

Bekas menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna berkata HARAPAN juga akan menstruktur semula ekonomi dengan memberi kepentingan kebajikan kepada program membela pengusaha kecil dan sederhana.

“Sewaktu memerintah dan menjadi menteri, saya dapati syarikat berdaftar di Malaysia ialah 95 peratus adalah syarikat pengusaha kecil dan sederhana dan selebihnya gergasi.

“Namun, selama ini dasar ekonomi negara dan kerajaan silih berganti mereka hanya utamakan syarikat gergasi berbanding syarikat pengusaha kecil dan sederhana, jadi kita akan struktur semula,” katanya.


Pengarang :