Dr Sathia beramah mesra dengan penyokong HARAPAN selepas ceramah kelompok di Bilik Gerakan Sungai Choh, Rawang. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

HARAPAN Hulu Selangor mahu rancak pelancongan agro, wujud peluang kerja

Oleh DIANA ABD WAHAB

HULU SELANGOR, 16 NOV: Merancakkan sektor pertanian dan pelancongan antara sembilan tawaran Pakatan Harapan (HARAPAN) Hulu Selangor jika menang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Calon Parlimen Hulu Selangor Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata usaha itu bagi memantapkan ekonomi dan menyelesai isu pekerjaan membabitkan anak muda kawasan itu.

Beliau menjelaskan sektor terbabit akan diperkasa menerusi penggunaan teknologi moden, mempelbagaikan jenis tanaman dan mewujudkan pusat pemasaran.

Katanya, lawatan ke kawasan pertanian atau penternakan juga memberi peluang kepada pelancong melakukan aktiviti bersama pengusaha selain menjana pendapatan tambahan untuk anak muda dalam sektor itu.

“Malah, secara tak langsung mereka akan wujudkan peluang pekerjaan, galakkan anak muda cebur diri dalam keusahawanan, tambah baik ekonomi, kewangan sekali gus kualiti hidup anak muda.

“Saya percaya inisiatif ini mampu elak anak muda kita berhijrah ke daerah atau negeri lain kerana kita mampu wujudkan peluang pekerjaan di Hulu Selangor. Ramai hijrah ke Kuala Lumpur kerana kejar gaji tinggi,” katanya.

Tambah Dr Sathia penghijrahan ke bandar besar tidak menguntungkan kerana sebahagian gaji dibelanjakan untuk makanan dan tol selain kos sara hidup yang tinggi.

Berikut sembilan tawaran HARAPAN Hulu Selangor:

1. Infrastruktur/pengangkutan
– Menaik taraf kemudahan jalan raya
– Menambah baik sistem pengangkutan awam

2. Kesihatan awam
– Mewujudkan hospital pakar kerajaan
– Penambahan klinik kesihatan di Bukit Sentosa

3. Perumahan
– Memperkasa dasar rumah mampu milik
– Menyelesaikan projek pembangunan terbengkalai

4. Memperluaskan peluang pekerjaan untuk golongan B40 dalam pelbagai bidang

5. Memperluaskan capaian internet berkelajuan tinggi

6. Pemerkasaan teknologi hijau kearah kelestarian alam sekitar

7. Memastikan prasarana sukan dan rekreasi yang lengkap dapat disediakan

8. Mempertingkatkan program pembangunan usahawan

9. Merancakkan sektor pelancongan daerah


Pengarang :