Penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) bersorak di hadapan pusat penamaan calon Parlimen Ampang di Dewan Dato’ Ahmad Razali, Ampang pada 5 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

HARAPAN letak calon wanita paling ramai tandingi kerusi DUN, Parlimen

SHAH ALAM, 7 NOV: Pakatan Harapan (HARAPAN) meletakkan calon wanita paling ramai berbanding gabungan lain dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Daripada 206 kerusi yang ditandingi, 19 peratus atau 40 daripadanya diwakili wanita sementara Barisan Nasional meletakkan 22 calon (12.4 peratus) berbanding 178 kerusi.

Menurut timbalan ketua wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Perikatan Nasional pula hanya menampilkan 16 calon wanita berbanding 149 kerusi dan 11 calon dari Gerakan Tanah Air.

“Saranan untuk menghantar minimum 30 peratus calon wanita masih tidak dapat dicapai dalam PRU15 kali ini,” kata Juwairiya Zulkifli dalam kenyataan semalam.

Berikutan itu, beliau mencadangkan reformasi sistem pilihan raya dibuat dengan memperkenal kerusi tanpa kawasan bagi menggantikan sistem yang tidak pernah diubah lebih 60 tahun.

“Malangnya lagi, sistem ini (sedia ada) tidak memberi kelebihan untuk mempromosi representasi terutamanya bagi golongan wanita dan komuniti rentan,” katanya.

Wakil rakyat Bukit Melawati turut mendesak pindaan Akta Pilihan Raya dibuat, yang mewajibkan setiap parti meletakkan minimum 30 peratus kuota calon wanita ketika pilihan raya.

Seramai 1,386 calon bertanding dalam PRU15 meliputi 222 kerusi Parlimen dan 117 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Perak dan Perlis serta satu di Sabah.


Pengarang :