Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra dengan orang ramai di Pangsapuri Taman Amaniah, Gombak pada 11 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Hasrat derma gaji ahli parlimen bukti ikhlas berkhidmat, prestasi sebagai MB yakinkan pengundi

Oleh Azian Aziz

GOMBAK, 12 NOV: Hasrat Dato’ Seri Amirudin Shari untuk menderma gaji ahli Parlimen Gombak jika menang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) merupakan penghargaan kepada rakyat kawasan tersebut.

Rosmah Roslan, 49, berkata kesediaan Amirudin menyumbang kepada Dana Komuniti Gombak jika masih kekal dalam pentadbiran negeri membuktikan beliau pemimpin yang ikhlas berkhidmat.

Rosmah Roslan. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya yakin beliau menunaikan janjinya, beliau seorang yang bila berjanji pasti akan buat. Tengoklah prestasinya sebagai ahli dewan negeri (ADN) dan menteri besar, banyak yang dilakukan untuk rakyat.

“Saya yakin dia akan jadi ahli parlimen pilihan rakyat kerana dia seorang yang menghargai pengundinya,” katanya ditemui selepas majlis ramah mesra penduduk Pangsapuri Taman Amaniah, Batu Caves bersama calon HARAPAN Parlimen Gombak, semalam.

Sementara itu, Rezal Elias, 43, menyifatkan hasrat calon Parlimen Gombak itu menunjukkan beliau seorang pemimpin yang bersedia mengorbankan wang ringgit sendiri demi kebajikan rakyat.

Rezal Elias. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Sepanjang penilaian sejak menjadi menteri besar, beliau bukan seorang yang suka bercakap kosong sebaliknya sering membantu rakyat.

“Jika sanggup serah gajinya kepada rakyat jika menang, itu bermakna beliau seorang pemimpin yang bukan bekerja demi wang ringgit,” katanya.

Pengundi muda Muhammad Aiman Mohd Amir, 28, pula berharap gaji Amirudin yang dikumpul dalam Dana Komuniti Gombak dapat diagihkan sedikit untuk aktiviti anak muda.

Muhammad Aiman Mohd Amir.Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Bukan senang kita nak bagi hasil titik peluh kepada orang lain. Jadi hasrat Dato’ Menteri Besar amat dihargai. Sebagai pengundi, kita pasti memilih pemimpin yang sentiasa fikirkan kebajikan rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan tidak akan mengambil gaji sebagai ahli parlimen kerana beliau bertanding bukan untuk mengejar gaji dan jawatan.

Gaji ahli parlimen tersebut akan diderma kepada Dana Komuniti Gombak bagi membantu masyarakat jika menang pilihan raya umum ke-15 pada 19 November ini.

Dibantu derma pihak swasta, sumbangan berkenaan dibuat jika Amirudin masih kekal sebagai Ahli Dewan Negeri Sungai Tua dan jawatan dalam pentadbiran negeri.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari bertemu penduduk Pangsapuri Taman Amaniah, Gombak pada 11 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/ SELANGORKINI

Pengarang :