Calon Pakatan Harapan Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman bersama penduduk ketika menghadiri kenduri rakyat di Kampung Changkat Kiri, Gombak pada 11 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hasrat derma gaji yakinkan pengundi pilih Amirudin di Gombak

OLEH DIANA ABD WAHAB

HULU SELANGOR, 14 NOV: Hasrat Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari untuk menderma gaji ahli parlimen jika menang kerusi Gombak diterima baik penduduk Selangor.

Pekerja swasta Roslena Yasin, 43, berkata usaha berkenaan bukan hanya melonjakkan populariti calon Pakatan Harapan (HARAPAN) itu tetapi meyakinkan pengundi untuk memberi mandat kepadanya.

Roslena Yasin

“Saya percaya janji itu beri nilai tambah pada prestasi cemerlang beliau. Sudah nampak bukti kualiti khidmatnya untuk Selangor dengan kebajikan rakyat pada kedudukan teratas,” katanya.

Pesara Zulkifli Ngah Abdul Ghani, 71, pula menyifatkan janji itu bukti Amirudin tidak mementingkan diri sendiri, sebaliknya bekerja keras membela nasib rakyat.

“Janji tambah baik infrastruktur, prasarana dan kemudahan lain petanda beliau hargai pengundi di Gombak. Sudah pasti kita sokong jika ia bawa kebaikan dan manfaat pada rakyat.

“Bukan mudah hendak jumpa pemimpin yang sanggup korbankan wang ringgit untuk orang lain. Ini bukti beliau tidak kejar kemewahan. Kita patut simpan pemimpin begini,” katanya.

Bagi pensyarah sambilan Mardhiatul Iftiah Ariffin, 34, manifesto ditawar memberi peluang kepada golongan kurang berkemampuan mendapat pendidikan berkualiti dan lebih baik.

Mardhiatul Iftiah Ariffin

“Agihan 10,000 komputer riba percuma dalam tempoh lima tahun elak pelajar tercicir pembelajaran dalam talian buktikan beliau pandang serius soal pendidikan rakyat,” katanya.

Khamis lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan gaji ahli parlimen akan diderma kepada Dana Komuniti Gombak bagi membantu rakyat jika diberi mandat pada 19 November ini.


Pengarang :