Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman dengan jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sungai Chinchin, Gombak pada 28 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Henti main isu agama, Selangor peruntuk dana besar martabat syiar Islam

GOMBAK, 11 NOV: Pembinaan lebih banyak masjid dan peruntukan untuk mengimarahkannya dengan pelbagai aktiviti membuktikan Kerajaan Selangor sentiasa berusaha memartabatkan syiar Islam.

Orang ramai yang ditemui berkata umat Islam di negeri ini menerima banyak manfaat daripada perbelanjaan besar disalurkan di bawah pentadbiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sejak 2018.

Siak Masjid Kampung Sungai Chinchin Mustafa Ibrahim, 58, berkata Amirudin yang juga calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Gombak sentiasa mengutamakan kebajikan Islam.

Beliau mengambil contoh peruntukan RM7 juta diumumkan Amirudin untuk pembangunan semula masjid di kampung itu yang sudah berusia 54 tahun.

“Kita tahu sebagai ketua kerajaan macam-macam beliau kena fikir…tetapi beliau tetap utamakan dan prihatin dalam hal ehwal Islam,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Muhammad Haris Ghazali. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Penduduk Kampung Sungai Kertas Muhammad Haris Ghazali, 27, pula berkata tiada istilah Islam di Selangor terancam seperti didakwa pihak tertentu dalam kempen pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Peruntukan bukan sahaja untuk bina baharu atau naik taraf tetapi bagi mengimarahkan masjid seperti pada Ramadan, kita dapat ikuti pelbagai aktiviti keagamaan,” katanya.

Penduduk Gombak Setia Rosdi Ali, 44, berpendapat isu agama dimainkan pihak tertentu harus dihentikan sebaliknya fokus kepada tawaran untuk memajukan Parlimen Gombak dan negara secara keseluruhan.

Rosdi Ali. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Pelik juga pada 2022 ini masih ada pihak mainkan isu agama sedangkan kedudukan Islam sudah terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Penyandang Parlimen Gombak Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dalam kempennya menggunakan isu ancaman DAP terhadap Islam selain mendakwa peruntukan agama Islam selepas zaman pentadbirannya berkurangan RM60 juta setahun.

Amirudin menegaskan Kerajaan Selangor tidak pernah sesekali mengurangkan peruntukan tahunan malah dana tersebut kekal paling besar demi memartabat syiar Islam.

Kira-kira RM1.4 bilion disediakan Kerajaan Selangor menerusi empat belanjawan negeri khusus untuk memartabatkan Islam sejak 2019.

Amirudin yang juga naib presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai calon nombor dua dalam kertas undi berdepan empat lagi pencabar.

Beliau mencabar Mohamed Azmin (Perikatan Nasional) yang mengalih sokongan hingga mengakibatkan kerajaan HARAPAN di Putrajaya tumbang pada Februari 2020.

Calom lain ialah Datuk Megat Zulkarnain Omardin (Barisan Nasional), Datuk Dr Aziz Jamaluddin (Pejuang) dan Zulkifli Ahmad (Bebas).


Pengarang :