Usahawan Hijrah Muhammad Rahmad Misnan, 33, dan isteri Elly Yanti Anasrudin, 36, (kiri) menjual Kopi Cedok di Taman Sri Gombak, Gombak pada 31 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Hijrah: Skim baharu i-Sosial dijangka dibuka pertengahan Disember

SHAH ALAM, 27 NOV: Permohonan skim pembiayaan i-Sosial dijangka dibuka kepada rakyat Selangor mulai pertengahan bulan depan atau awal Januari 2023, kata eksekutif promosi Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah).

Menurut Muhammad Ihsan Mohamad Rosdi Kamal skim dikhususkan bagi aktiviti latihan dan kursus, pendidikan, baik pulih rumah serta membaiki dan membeli kenderaan dijangka mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan usahawan.

“Kita menyambut baik hasrat Kerajaan Negeri untuk memperkenalkan skim ini kepada rakyat Selangor terutama bagi membantu mereka yang terlibat dalam sektor berkaitan.

“Insya-Allah, kita akan uar-uarkan skim ini dalam tempoh terdekat memandangkan buat masa ini kita sedang membuat persiapan bagi penganjuran siri terakhir Jelajah Selangor Penyayang,” katanya ketika dihubungi.

Ketika membentangkan belanjawan negeri Jumaat lalu, Dato’ Menteri Besar berkata skim i-Sosial memberi peluang kepada mereka yang memerlukan sumber kewangan bagi membiayai aktiviti berkaitan dengan peruntukan RM4.2 juta.

Selain itu, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata antara penambahbaikan berterusan yang dilaksanakan skim Hijrah pada tahun depan termasuk memperuntukkan RM130 juta untuk tawaran pembiayaan kepada usahawan.

Setakat ini, skim ditawarkan yayasan itu kepada usahawan meliputi Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), Go Digital, i-Lestari, i-Agro, i-Bermusim dan i-Bisnes.


Pengarang :