Pemain Negara meraikan jaringan kedua dari Razie Rahim (tiga, kiri) ketika menentang pasukan Jepun pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2022 di Stadium Azlan Shah pada 7 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Hoki Piala Sultan Azlan Shah, skuad negara azam rangkul gelaran sulung

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Skuad hoki lelaki kebangsaan, Speedy Tigers, berazam melunaskan dua misi penting pada aksi final Piala Sultan Azlan Shah menentang Korea Selatan di Ipoh, esok.

Ketua jurulatih negara, A. Arul Selvaraj, berkata selain mencipta sejarah merangkul kejuaraan sulung gelaran berprestij itu, Speedy Tigers juga mahu membalas dendam atas kekalahan 2-1 di final kepada Korea Selatan yang mengecewakan  impian Malaysia merangkul Piala Asia di Jakarta, Mei lalu.

Selain itu, Malaysia memulakan kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2022 dengan langkah kiri selepas dikecewakan oleh juara bertahan itu, 0-3, pada 1 Nov lalu.

“Barisan pemain sedar betapa terlalu banyaknya sebab mengapa perlu memenangi kejuaraan. Malah, sama pentingnya, sudah tiba masanya untuk  menebus kekecewaan selama ini.

Kemenangan akan menjadi cara kami untuk menunjukkan tanda terima kasih dan penghargaan atas semua sokongan yang diberikan oleh Konfederasi Hoki Malaysia, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, penaja dan keluarga dan peminat kami.

“Sokongan luar biasa telah membawa kami ke pentas final,”  katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arul Selvaraj juga mengingatkan anak buahnya perlu melipat gandakan usaha keras kerana tiada apa yang datang dengan mudah pada perlawanan akhir menentang pasukan lawan bimbingan Shin Seok Kyo.

Sementara itu, Seok Kyo di sebalik azam mahu mempertahankan kejuaraan,katanya, mereka turut sedar bahawa mereka akan berdepan dengan skuad Malaysia yang berbeza di aksi final.

“Pasukan ini bukan pasukan yang sama yang kami tewaskan pada perlawanan pembukaan. Mereka telah meningkat dengan setiap perlawanan dan saya percaya yang terbaik mereka masih belum ditonjolkan,” katanya.

Di samping sokongan padu peminat tempatan yang membantu meningkatkan semangat juang tinggi, katanya, pasukannya menyahut cabaran dengan gaya tersendiri dan bermain seperti biasa.

Dalam kejohanan enam negara itu, Malaysia melangkah ke pentas final dengan mengumpul 10 mata, di belakang Korea Selatan yang mengumpul 13 mata selepas saingan liga sepusingan.

Sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1983, skuad negara muncul naib juara sebanyak lima kali.

Pada edisi 2019, Malaysia menang tempat ketiga selepas menewaskan Kanada 4-2 manakala Korea Selatan muncul juara buat kali ketiga selepas 1999 dan 2010 dengan mengalahkan India 4-2 pada penentuan penalti selepas terikat 1-1 sepenuh masa pada aksi final.

— BERNAMA

 


Pengarang :