Hospital Cyberjaya di Cyber 11 beroperasi secara rasminya sejak 11 Oktober 2022. Beroperasi dengan kapasiti 288 katil, hospital berkenaan dijangka dapat memanfaatkan kira-kira 282,000 pesakit. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hospital Cyberjaya mula operasi hari ini, tawar 14 kepakaran

CYBERJAYA, 11 NOV: Hospital Cyberjaya di Cyber 11 di sini beroperasi secara rasminya bermula hari ini.

Dibina atas tanah seluas 5.2 hektar, ia melibatkan peruntukan kos sebanyak RM508.8 juta dan merupakan hospital pertama di Malaysia yang bertaraf platinum di bawah pensijilan Indeks Bangunan Hijau iaitu menekankan faktor kelestarian dan kecekapan tenaga menerusi reka bentuknya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Pengoperasian Hospital Cyberjaya hari ini berkata pada awalnya, terdapat cadangan untuk memajak hospital tersebut kepada pihak swasta namun kerajaan memutuskan untuk mengoperasikan Hospital Cyberjaya sebagai hospital awam.

“Faktor untuk menswastakan hospital ini adalah kerana penduduk Cyberjaya kebanyakannya M40, yang mampu bayar di hospital swasta namun ada juga yang bukan M40. (Jadi) saya mahu rakyat dan penduduk Cyberjaya mendapat rawatan di hospital awam,” katanya.

Beliau berkata dengan pembukaan Hospital Cyberjaya, ia akan dapat membantu mengurangkan kesesakan di hospital berdekatan terutamanya Hospital Putrajaya, Hospital Kajang dan Hospital Serdang.

Hospital Cyberjaya yang akan beroperasi dengan kapasiti 288 katil dijangka dapat memanfaatkan kira-kira 282,000 penduduk Sepang.

Menurut Khairy Hospital Cyberjaya bakal menawarkan 14 bidang kepakaran dan perkhidmatan kesihatan antaranya perubatan am, radiologi, pergigian, rehabilitasi dan ortopedik.

“Selain itu, Hospital Cyberjaya juga menyediakan perkhidmatan audiologi bagi pesakit kanak-kanak dan dewasa termasuk ujian saringan pendengaran serta ujian diagnostik,” kata Khairy sambil menambah kepakaran geriatrik juga bakal ditempatkan di Hospital Cyberjaya.

Turut hadir Pengarah Hospital Cyberjaya Dr Shahabuddin Ibrahim dan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Dalam perkembangan lain mengenai kes Covid-19 di pusat pemindahan sementara (PPS), beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengenal pasti empat kes melibatkan warganegara di Dewan Orang Ramai Kampung Budiman, Klang dan kesemua mereka telah diisolasi.

Katanya mangsa banjir tidak perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum memasuki PPS namun sekiranya bergejala dan didapati positif, mereka akan diasingkan. – BERNAMA

 


Pengarang :