Jalur Gemilang berkibar megah di hadapan Bangunan Perdana Putra yang menempatkan pejabat Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Ibu segala pembelotan: Lompat parti, gabungan pecah punca bencana politik

SHAH ALAM, 12 NOV: Pembelotan wakil rakyat, tragedi lompat parti dan perpecahan dalam gabungan politik membuka luas pintu bencana kepada negara sepanjang 2020 hingga 2022.

Pada saat negara berdepan Covid-19 yang mengancam nyawa dan pekerjaan rakyat, pemimpin kerajaan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) asyik bercakaran.

Tumpuan mereka hanya untuk mengekalkan atau merampas kuasa sehingga hilang fokus untuk mengekang virus, menguatkan ekonomi yang terjejas dan memajukan Malaysia.

Sesungguhnya memang sahihlah Langkah Sheraton telah bertukar ibu segala pengkhianatan yang memporak-perandakan negara sehingga penggal pilihan raya ke-14 menjadi kekacauan politik terbesar dalam sejarah.

Selangorkini meringkas 10 tema kecil bagi memahami pelbagai peristiwa antara majlis makan malam di Hotel Sheraton, Petaling Jaya pada 23 Februari 2020 hingga pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022.

1. Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) ditumbang di ambang Covid-19
■ Tindakan lompat parti bermula hujung Februari 2020 ketika Covid-19 mula tersebar ke serata dunia
■ Negara tidak sedia tangani masalah ekonomi akibat virus baharu dan luar jangka itu walau pakej rangsangan RM20 bilion dibentang

2. Sabah pula diganggu, Umno ingin rampas kuasa
■ Kerajaan baharu PN-BN ganggu kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan), bekas sekutu HARAPAN, sehingga Dewan Undangan Negeri bubar pada Julai 2020
■ Gabungan persekutuan di peringkat negeri bertempur sesama sendiri dalam pilihan raya Sabah pada September 2020
■ Selepas pilihan raya, gabungan peringkat negeri PN-BN bentuk kerajaan baharu pada September 2020 tetapi masih ada rasa tidak puas hati
■ Kajian sahkan gelombang Covid-19 naik di Sabah setelah pilihan raya sehingga jadi makin parah

3. Menteri besar ditumbang di tengah wabak
■ BN naik menguasai kerajaan Johor melalui menteri besar baharu hujung Februari 2020
■ Ketua menteri Melaka (Pakatan Harapan) dijatuhkan, diganti dengan Umno pada Mac 2020
■ PAS dengan PN menyingkirkan kerajaan HARAPAN di Kedah pada Mei 2020
■ Kerajaan negeri Perak bertukar tangan, daripada HARAPAN kepada gabungan PN-BN pada Mac 2020
■ BN goncang pentadbiran Perak, menteri besar PN letak jawatan Disember 2020

Imbasan mikroskop elektron menunjukkan SARS-CoV-2 (objek biru bulat) muncul dari permukaan sel yang dikultur di makmal, yang menyebabkan Covid-19. Virus itu diasingkan dari seorang pesakit di Amerika Syarikat pada 27 Februari 2020. Foto AFP

4. Darurat politik tidak kawal virus, kes makin meningkat
■ Bimbang ditumbang Umno, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin persembah permohonan darurat pada Oktober 2020
■ Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja tidak perkenan darurat
■ Darurat diisytihar di seluruh negara mulai 11 Januari hingga 1 Ogos 2021. Sebanyak 2,232 kes positif Covid-19 direkodkan
■ Tetapi kes naik mendadak antara April hingga Ogos 2021. Pada Ogos sahaja, 632,982 kes dan 7,640 kematian dicatat – jumlah tertinggi
■ Krisis politik meledak lagi. Ahli parlimen Umno tarik sokongan dan kerajaan Muhyiddin tumbang, diganti Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 21 Ogos

5. Istana tegur tindakan politik, desak bahas Ordinan Darurat
■ Pada Februari 2021, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan Parlimen boleh bersidang walau darurat tetapi kerajaan abaikan nasihat
■ Pada Jun, Al-Sultan Abdullah bertitah sidang Parlimen perlu “secepat mungkin”, mesti bahas Proklamasi Darurat, Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara
■ Raja-Raja Melayu zahirkan pandangan tiada keperluan darurat diteruskan
■ Pada Julai 2021, Yang di-Pertuan Agong sekali lagi zahirkan pandangan Parlimen perlu bersidang “secepat mungkin”

6. Tiada tumpuan isu Covid, Sultan titah segerakan vaksinasi
■ Pada 8 Jun 2021, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor gesa percepat dan menambah bilangan dos vaksin untuk penduduk negeri ini
■ Pada 16 Jun, Raja-Raja Melayu sepakat desak program vaksinasi dipertingkat, kurangkan birokrasi bagi segerakan imuniti kelompok

7. Gabungan PN-BN goncang, pemimpin Umno ganti Muhyiddin
■ Kes terus meningkat antara April hingga Ogos 2021. Pada Ogos sahaja, 632,982 kes dan 7,640 kematian dicatat – jumlah tertinggi dalam sejarah negara
■ Krisis politik meledak lagi. Seramai 15 ahli parlimen Umno tarik sokongan, kerajaan Muhyiddin tumbang pada awal Ogos
■ Tidak lama kemudian, Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik perdana menteri ketiga dalam tempoh tiga tahun setengah
■ Bimbang kerajaannya dijatuhkan, Ismail Sabri minta sokongan wakil-wakil rakyat HARAPAN melalui perjanjian persefahaman
■ HARAPAN selamatkan negara tidak stabil, desak gubal Akta Antilompat Parti dan sejumlah lagi reformasi bagi kukuhkan pentadbiran

Antara pengundi yang hadir awal untuk menunaikan tanggungjawab mengundi bagi Dewan Undangan Negeri Larkin pada Pilihan Raya Negeri Johor di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan 1 Larkin, Johor Bahru pada 12 Mac 2022. Foto BERNAMA

8. Pilihan raya negeri awal, krisis sesama Umno
■ Kerajaan negeri Sabah bergoncang hanya beberapa bulan selepas HARAPAN ditumbangkan pada Februari 2020
■ Tidak cukup percakaran antara BN dengan PN pada Ogos 2021, pemimpin Umno Melaka pula berperang sesama sendiri hingga kerajaan negeri dibubarkan awal Oktober
■ Pilihan raya negeri terpaksa dibuat pada November. Semua parti dalam kabinet BN-PN bertempur sesama sendiri dalam persaingan tiga penjuru dengan HARAPAN
■ Tidak lama selepas ini, krisis politik di Johor pula meletus. Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada Januari 2022
■ Sekali lagi, pilihan raya negeri terpaksa diadakan. Semua parti dalam kabinet BN-PN bertempur lagi dalam persaingan tiga penjuru dengan HARAPAN pada Mac 2022

9. Berbalah dan terus bertempur sesama sendiri
■ Syarat kerjasama BN bersama PN, pilihan raya umum perlu diadakan segera, sasaran awal Umno pada awal 2021 ketika Covid-19 masih serius
■ BN sentiasa ugut pentadbiran Muhyiddin untuk tarik sokongan sepanjang hujung 2020 dan 2021 hingga berundur pada Ogos 2021
■ BN sentiasa desak pilihan raya umum diadakan segera hingga ganggu pentadbiran Ismail Sabri, terpaksa bubar Parlimen walau penggal tamat tempoh pada tahun depan
■ PAS pula tidak tetap pendirian, sukar tentukan bersama Umno dalam Muafakat Nasional atau bersama Bersatu dalam PN
■ Bertelingkah jawatan timbalan perdana menteri pula pada Julai 2022 antara PN dan BN. PAS pula dakwa tidak tahu-menahu walau pemimpinnya saksikan perjanjian

10. Satu kabinet, dua suara – tiada lagi kerajaan stabil
■ Walau BN dan PN cuba tonjolkan imej “stabil” tetapi hakikatnya sejarah buktikan krisis demi krisis muncul sejak HARAPAN ditumbangkan
■ Pada saat akhir, 12 menteri PN hantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong agar tidak bubarkan Parlimen setelah didesak BN bertubi-tubi
■ Ismail Sabri terpaksa ikut telunjuk parti yang sering tekan pentadbiran, lalu umum pembubaran Parlimen pada petang 10 Oktober 2022


Pengarang :