Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Parlimen Sungai Buloh Datuk R Ramanan (kanan) beramah mesra bersama orang ramai selepas bersarapan di Restoran Iqbal Maju, Seksyen 4 di kawasan itu pada 10 November 2022. Foto Facebook Ramanan Ramakrishnan DR
AGENDANASIONAL

Ikhtiar bantu rakyat, jangan terpedaya janji manis pihak lawan

OLEH FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 11 NOV: Pakatan Harapan (HARAPAN) meminta pengundi supaya tidak keliru dengan janji manis pihak lawan untuk memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Calon gabungan itu di Parlimen Sungai Buloh Datuk R Ramanan berkata pemimpin sebaliknya perlu memikir dan mencari ikhtiar untuk membantu rakyat dalam pelbagai aspek.

“Saya bukan memberi janji manis seperti pesaing saya yang menabur banyak janji untuk membuat itu ini di Parlimen,” katanya dalam ceramah di Kampung Paya Jaras Hilir pada 8 November.

“Setiausaha politik Khairy Jamaluddin dari Sungai Buloh, apa sumbangan mereka kepada penduduk selama ini? Jangan kita jadi mangsa janji-janji manis.”

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi Parlimen Sungai Buloh Datuk R Ramanan (tengah) beramah mesra bersama orang ramai ketika berkempen di Seksyen 7, Kota Damansara baru-baru ini. Foto Facebook Ramanan Ramakrishnan DR

Ramanan menjelaskan beliau bersama jenteranya terus aktif mendekati rakyat dan menguar-uarkan 10 tawaran gabungan tersebut jika diberi mandat kali ini.

Dalam pada itu, beliau menganggap tohmahan yang dilemparkan pesaing kepadanya tidak berasas serta tidak mematahkan semangatnya untuk berbakti kepada penduduk di kawasan tersebut.

“Apabila saya mempersoal beberapa skandal yang dikaitkan dengan calon lain, mereka (pihak lawan) senyap menikus malah mahu menyaman pula,” tegasnya.

Ramanan berdepan pencabar terkuat bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin (Barisan Nasional) dalam persaingan tujuh penjuru.


Pengarang :