Calon BN Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika berkempen di Bagan Pasir Laut pada 17 November 2022. Foto Facebook Zahid Hamidi
AGENDANASIONAL

Ilham Centre: Tindakan Zahid tukar calon jadi punca sabotaj dalaman

SHAH ALAM, 18 NOV – Tindakan Barisan Nasional (BN) menukar beberapa calon mencetuskan “tindak balas yang sukar dikawal” sehingga berisiko berlaku sabotaj di enam kerusi.

“Tindakan Pengerusi BN (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) yang membelakangi dan tidak menyantuni oligarki serta proses ‘housekeeping’ parti tidak berjalan dengan baik. Akibatnya sama ada penggerak parti menzahirkan protes tidak keluar mengundi ataupun menghalakan undi kepada parti lawan.

“Kerusi seperti P026 Ketereh, P086 Maran, P095 Tanjong Karang, P126 Jelebu, P155 Tenggara dan P156 Kota Tinggi antara yang dikenal pasti berpotensi untuk berlaku sabotaj dalaman parti kepada calon baharu,” kata kenyataan firma itu yang bertajuk ‘HARAPAN di hadapan, BN dan PN bertarung di kerusi Melayu, blok Borneo penentu’.

Strategi BN menukar calon mencetuskan tindak balas yang sukar dikawal mengakibatkan kecelaruan dan runtuhnya semangat juang jentera yang dikuasai oleh ‘warlord’ yang tidak dicalonkan.

BN sejak awal dijangka berdepan PRU dalaam keadaan bersedia selepas menang pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan PRN Johor yang membawa kepada pembubaran parlimen.

“Segalanya berubah selepas calon diumumkan. BN gagal memanfaatkan sepenuhnya kelebihan membubarkan Parlimen dengan mengawal tempo pilihan raya ketika parti-parti saingan dilihat tidak bersedia dan terpecah,” kata kenyataan itu.

Kaji selidik itu juga mendapati BN sepanjang berkempen tidak memperlihat kesepakatan untuk menonjolkan imej perpaduan bagi membentuk tanggapan menyakinkan kepada pengundi. Perkara itu antaranya didorong faktor berikut:

– Pengguguran nama-nama besar dan penyandang kerusi hingga ada kalangan mereka bertanding atas tiket parti lawan atau sebagai calon Bebas

– Strategi 80 peratus muka baharu ‘backfired’ buat BN dengan andaian keputusan presiden disepakati sebaliknya menerima tindak balas di luar jangkaan

– Masalah ‘housekeeping’ parti yang berterusan disebabkan ‘backlash’ menjadikan BN berkecamuk dalam membuat persediaan pilihan raya

“Tindakan beberapa pimpinan Umno yang menyerang Zahid Hamidi menggambarkan bagaimana situasi dalaman Umno yang terpecah serta hilang arah sepanjang tempoh berkempen,” kata kenyataan tersebut.


Pengarang :