Pengunjung menjalani pemeriksaan kesihatan percuma Selangor Saring sempena Jelajah Selangor Penyayang daerah Petaling di Laman MBPJ, Petaling Jaya pada 24 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKIN
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jelajah bantuan rakyat di Hulu Selangor hujung minggu depan

OLEH DIANA ABD WAHAB

HULU SELANGOR, 27 NOV: Jelajah Selangor Penyayang fasa dua bagi memperkenal pelbagai inisiatif baharu dan ditambah baik untuk rakyat diteruskan ke Hulu Selangor pada 3 dan 4 Disember ini.

Program bantuan rakyat yang sebelum ini ditunda bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan di Persiaran As-Salam Bukit Sentosa bermula jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

Antara program menarik disediakan untuk pengunjung termasuk saringan kesihatan secara percuma, Jualan Ehsan Rakyat dan persembahan artis jemputan.

Program bertemakan Membudaya Kesihatan Berkualiti,  selama dua hari itu bakal dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Kali terakhir program itu diadakan sebelum PRU15 ialah di Sepang pada 29 dan 30 Oktober lalu.

Jelajah bantuan rakyat pernah diadakan di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam dan Stadium Sultan Sulaiman, Klang.

Sebelum ini, acara sama berlangsung di Taman Kosas Ampang Jaya, Dataran Pantai Morib Kuala Langat, Stadium Utama Kuala Selangor, Dataran Boulevard Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Padang Awam Batu Caves dan Stadium Sungai Besar.


Pengarang :