Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika minum petang bersama calon HARAPAN Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan dan jentera parti di Bandar Bukit Mahkota, Hulu Langat pada 14 November 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jentera disaran tingkat usaha tarik pengundi, tangkis serangan lawan dengan fakta

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

HULU LANGAT, 14 NOV: Jentera daerah mengundi disaran melipat gandakan usaha meningkatkan kepercayaan dan sokongan rakyat terhadap Pakatan Harapan (HARAPAN).

Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata memasuki minggu terakhir berkempen, jentera juga perlu menangkis serangan parti lawan dengan fakta agar rakyat tidak keliru.

“Kita kena lakukan perubahan kerana negara kita ‘sakit’. Jadi menjelang detik-detik akhir ini kita semua kena semakin peka dengan cakap-cakap dan apa yang diusahakan (pihak lawan untuk mengelirukan rakyat).

“Segala tohmahan dan dakwaan yang semakin melampau akhir-akhir ini mesti diterangkan,” katanya.

Bercakap pada sesi sembang santai bersama jentera daerah mengundi Bukit Mahkota di sini, Amirudin yakin kerja keras jentera membantu HARAPAN mendapatkan kembali mandat rakyat.

“Tidak ada satu undi pun kita perlu bazirkan. Tidak ada satu undi pun yang kita boleh biarkan.

“Masa inilah kita perlu terangkan kepada rakyat, apa tawaran HARAPAN termasuklah membawa perubahan daripada pelbagai segi seperti pendidikan yang berkait dengan kepentingan masa depan bukan hanya sekadar janji,” katanya.

 


Pengarang :