AGENDANASIONAL

JPJ Selangor lelong kereta sita, Honda Integra bidaan tertinggi

SHAH ALAM, 1 NOV: Kereta Honda Integra mendapat bidaan tertinggi sebanyak RM58,000 menerusi acara Lelongan Awam Kenderaan Sita anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor semalam.

Ia antara 135 kenderaan pelbagai jenis yang berjaya dilelong di sini selain motosikal, kereta, jip, bas, van, lori kargo am dan semi treler yang disita sejak lima tahun lalu, lapor Sinar Harian.

Pengarah JPJ Datuk Khairul Khar Yahya berkata semua kenderaan tersebut dilelong selepas mendapat arahan lucut hak daripada mahkamah kerana tidak dituntut pemilik dalam tempoh ditetapkan.

“Antara kesalahan dilakukan pemilik kenderaan terbabit adalah kereta klon, tiada lesen memandu, memandu bawah umur, mengganggu nombor chasis dan kenderaan potong-sambung,” jelasnya.

Beliau memaklumkan JPJ mengutip RM527,878 menerusi acara tersebut dengan keseluruhan lebih RM5 juta hasil lelongan awam kenderaan sita sejak 2019.


Pengarang :