Keadaan banjir yang melanda sekitar Tanjong Karang selepas benteng pecah awal pagi 6 November 2022 akibat air pasang besar. Foto Facebook Tanjong Karang
SELANGOR

JPS giat baik pulih benteng pecah di Tanjong Karang

SHAH ALAM, 6 NOV: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang giat melakukan kerja pembaikan benteng yang dilaporkan pecah awal pagi tadi susulan banjir di Kilang Padi Tanjong Karang, dekat sini.

JPS dalam kenyataan memaklumkan banjir berlaku disebabkan limpahan Sungai Tengi, Tanjong Karang itu berpunca daripada tekanan kuat yang disebabkan oleh air pasang besar.

Menurut JPS, susulan limpahan air Sungai Tengi sekitar 4 pagi tadi, pihaknya terus melaksanakan kerja pembaikan pada benteng Sungai Tengi namun tekanan air yang kuat menyebabkan berlakunya limpahan yang pada mulanya sedikit menjadi besar.

“Berikutan itu, pam bergerak berkapasiti 10 cusec telah diaktifkan serta-merta dan kerja pembaikan diteruskan serta pintu air pasang surut berhampiran telah dibuka pada 8 pagi tadi,” menurut kenyataan itu.

Dilaporkan tujuh sekeluarga dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air susulan limpahan akibat ban pecah di sekitar Pekan Tanjong Karang, awal pagi tadi.

Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis dalam kenyataan berkata kesemua yang berusia lingkungan empat hingga 70 tahun itu dipindahkan ke rumah jiran dan keadaan dilaporkan terkawal serta limpahan air setinggi satu meter awal pagi tadi di sekitar pekan itu telah surut.

-BERNAMA


Pengarang :