Pemandu kenderaan dan penunggang motosikal terpaksa meredah banjir berikutan hujan lebat berterusan ketika tinjauan Selangorkini di Persiaran Jubli Perak Seksyen 22, Shah Alam pada 18 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKIN
AGENDA NASIONAL

JPS: Notis kemungkinan banjir kilat empat negeri termasuk Selangor

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat bagi empat negeri melibatkan Pahang, Selangor, Johor dan Sarawak.

JPS dalam kenyataan yang dikeluarkan setakat 5 petang hari ini memaklumkan ia berdasarkan maklumat ramalan hujan daripada model Numerical Weather Prediction (NWP) oleh Jabatan Meteorologi dan sistem Southeastern AsiaOceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS).

Menurut makumat tersebut, terdapat risiko berlakunya banjir kilat di beberapa lokasi berkenaan sekiranya berlaku hujan lebat atau ribut petir yang signifikan dalam tempoh 12 jam daripada notis itu dikeluarkan.

JPS memaklumkan Pahang melibatkan daerah Rompin dengan lokasi yang terlibat adalah Kampung Janglau 1, 2 dan 3, Kampung Serinkin, Kampung Setajam, Kampung Pianggu serta Kampung Sarang Tiong.

Selangor membabitkan daerah Klang melibatkan Kampung Delek, Jalan Kebun Nenas, Kampung Jawa, Taman Melawis, Teluk Pulai, Taman Petaling, Taman Sentosa, Taman Saujana, Taman Rashna, Kampung Bukit Naga, Batu 8 Jalan Bukit Kemuning dan Pandamaran.

Johor melibatkan daerah Mersing di Kampung Air Tawar, Kampung Semaloi, Kampung Asli Labong, Sungai Padang, Kampung Kuria Batu 4 dan Mukim Triang, manakala daerah Pontian lokasi yang terlibat adalah Kampung Bugis, Batu 6, Kampung Parit Jerman, Kampung Penerok, Jalan Makam, Kampung Penghulu Bakar, Kampung Permas serta Kampung Parit Sulaiman.

Sarawak pula membabitkan daerah Kuching melibatkan Kampung Batu Kitang, Batu Kitang KM10, Kampung Stenggang, Kampung Mambong, Kampung Bratan dan Kampung Selampit, manakala daerah Serian melibatkan Taman Duranda Mas, Kampung Duras Batu 16 dan 17, Jalan Kuching-Tapah Lama, Jalan Kampung Batu Gong serta Siburan Bazaar.

JPS memaklumkan notis kesiapsiagaan itu dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang berisiko untuk berwaspada dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir kilat bagi tempoh tersebut.

“Sila patuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa.

– BERNAMA


Pengarang :