Laman web rasmi info banjir bagi kemudahan awam dalam menghadapi bencana musim banjir dipamerkan pada sesi sembah taklimat persiapan bencana dan banjir di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ampang, Kuala Lumpur pada 6 Oktober 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

JPS: Notis siap siaga kemungkinan banjir di Pantai Timur

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir di Terengganu dan Pahang sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di lembangan Sungai Besut dan Sungai Rompin.

JPS, dalam kenyataan dikeluarkan setakat 11 malam tadi, memaklumkan ia berdasarkan hasil simulasi model ramalan banjir jabatan itu susulan Amaran Hujan Berterusan (Buruk) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada jam 2.10 petang semalam.

Menurut JPS, terdapat risiko berlakunya banjir mulai jam 1 pagi (Jumaat) di kawasan sekitar Sekolah Kebangsaan Seri Payung di daerah Besut, Terengganu dan jam 5 petang di kawasan sekitar Kampung Buluh Nipis di daerah Rompin, Pahang.

Terdahulu, notis sama turut dikeluarkan melibatkan daerah Besut di Kampung La, Kampung Seberang La, Kampung Pengkalan Nangka dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bukit Puteri, manakala daerah Setiu di Kampung Nyatoh dan Kampung Che Mohid, yang dijangka mengalami banjir pada jam 5 pagi hari ini.

Ramalan sama turut dijangka berlaku pada jam 7 pagi di daerah Rompin, Pahang melibatkan Sungai Anak Endau di Rumah Pam Setajam.

Kelantan pula melibatkan daerah Pasir Mas di Kampung Kubang Rambutan, Kampung Bagus, Kampung Degung dan Kampung Telaga Mas. yang dijangka berlaku banjir pada jam 2 petang.

Jabatan itu memaklumkan notis kesiapsiagaan itu dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang berisiko untuk berwaspada dengan sebarang kemungkinan berlakunya banjir kilat bagi tempoh tersebut.

“Sila patuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir,” demikian menurut JPS.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my , Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa.

– BERNAMA


Pengarang :