Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan murah dalam program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Tua di Flat Putri Laksamana, Gombak pada 1 November 2022. Foto AZIAN AZIZ/SELANGORKINI
SELANGOR

Jualan ehsan jimat belanja, penduduk harap program dianjur lebih kerap

OLEH AZIAN AZIZ

GOMBAK, 1 NOV: Jimat belanja dapur dan barangan yang dibeli segar. Itu antara sebab utama penduduk di Parlimen Gombak mahu program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) dianjurkan dengan lebih kerap.

Menurut Zuliana Zainal Abidin, 41, program jualan murah itu juga dapat menjimatkan masa penduduk kerana tidak perlu pergi ke kedai.

“Ini kali kedua JER dijalankan di kawasan rumah saya. Saya memang tunggu kerana amat berbaloi. Nasib baik saya datang awal jadi boleh beli semua barang.

Zuliana Zainul Abidin

“Kalau datang lambat telur dan ayam mesti habis,” katanya ketika ditemui dalam program JER Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di Flat Putri Laksamana, Batu Caves di sini.

Sementara itu, Mohd Zairi Abd Rahim,51, berkata beliau hanya dapat membeli beras dan minyak kerana tiba di lokasi pada jam 11 pagi.

“Saya memang tunggu jualan murah ini kerana dapat jimat banyak. Tapi hari ini saya datang lambat kerana baru tahu lokasi jualan. Saya harap selepas ini lokasi jualan murah ini dapat dihebahkan dengan lebih berkesan,” katanya yang menetap di kawasan perumahan berdekatan.

Pengerusi Badan Pengurusan bersama (JMB) Flat Putri Laksamana, A. Ragunatahan, 56, pula menjelaskan, program JER yang sepatutnya dibuka pukul 10 pagi hari ini dimulakan setengah jam awal kerana penduduk telah mula beratur panjang.

Mohd. Zairi Abd. Rahim

“Hari ini lebih 300 pembeli datang kebanyakannya membeli telur, ayam dan minyak. Saya harap program JER boleh diadakan lebih kerap mungkin dua minggu sekali terutama di kawasan flat kerana dapat bantu penduduk jimatkan belanja.

“Saya juga ucap terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar kerana mengadakan program JER yang memang meringankan beban rakyat selain turun padang ke flat ini baru-baru ini untuk membantu penduduk yang kurang berkemampuan,” katanya.

Kerajaan Negeri memperuntukan RM10 juta untuk program JER di 56 DUN mulai 6 September lalu hingga 6 Disember ini melibatkan 160 lokasi.

Inisiatif itu bagi membantu rakyat berdepan kenaikan harga barang dan telah memberi manfaat kepada lebih 80,000 orang sejak diperkenalkan.

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan https:linktr.ee/myPKPS untuk kemaskini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :