Orang ramai beratur untuk membeli barangan keperluan asas yang dijual dengan harga yang lebih murah berbanding harga pasaran sempena program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sementa, Klang pada 23 November 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jualan murah barangan asas di DUN Sementa 28 November 2022

OLEH SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

KLANG, 23 NOV: Program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa akan diadakan pada 28 November 2022 di Kapar.

Penyelaras DUN Sementa, Afrishah Azizi berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk pelaksanaan program itu.

“Kita cuba buat permohonan dan dapatkan sebanyak mungkin slot penggiliran yang ada untuk membolehkan penduduk di DUN ini mendapat peluang membeli barangan keperluan asas pada harga lebih murah berbanding pasaran.

“Sebelum ini kita sudah laksanakan di beberapa kawasan di bawah DUN ini dan mendapat sambutan menggalakkan malah penduduk kampung ternanti-nanti program ini,” katanya ketika ditemui pada program jualan murah itu di Masjid Al Islah, Kampung Sementa hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini mengumumkan inisiatif jualan murah barangan asas itu yang sepatutnya tamat Disember disambung hingga Mac tahun depan bagi membantu lebih ramai pengguna yang terkesan dengan kos kenaikan harga barang ketika ini.

Jelajah jualan murah itu menyediakan barangan asas seperti ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan https://linktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :