Pengunjung berpeluang mendapatkan sayur-sayuran, buah-buahan dan pelbagai jenis ikan segar pada harga berpatutan di Pasar Agro PKPS Prihatin, Seksyen 7, Shah Alam pada 29 Ogos. Foto HAFIZ OTHMAN
AGENDANASIONAL

Jualan murah bukan kempen politik, mula diperkenal dalam era pandemik

SHAH ALAM, 9 NOV: Dakwaan kononnya program Jelajah Ehsan Rakyat hanya diadakan pada musim pilihan raya tidak benar sama sekali, kata Dato’ Menteri Besar.

Sebaliknya, Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan pengumuman acara jualan murah itu dibuatnya pada 30 Ogos 2022 dan ia berlangsung hingga Disember.

“Buat program bila nak musim pilihan raya umum? Tak betul.

“Diumum semasa sambutan Hari Kebangsaan. Tolong semak fakta yang jelas,” katanya menerusi Twitter.

Menerusi infografik, RM10 juta disedikan untuk program yang menawarkan harga 30 peratus lebih rendah daripada pasaran membabitkan 56 Dewan Undangan Negeri.

Program itu memfokuskan enam jenis barangan keperluan asas termasuk ayam, daging, ikan, telur, beras, minyak masak dengan harga 30 peratus lebih murah daripada pasaran.

Jualan Ehsan Rakyat (JER) lanjutan Program Agro Prihatin Selangor yang bermula pada Jun 2021 ketika penduduk terjejas akibat pandemik Covid-19.

Program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu kemudian dikenali sebagai Jualan Mega Prihatin pada Disember 2021 sebelum dikenali sebagai JER pada Ogos lalu sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Ketiga-tiga program itu bukan sahaja untuk meringankan beban penduduk dengan menawarkan harga barangan asas pada harga murah malah membantu petani memastikan hasil pertanian mereka dipasarkan.


Pengarang :