Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah dalam program Jelajah Ehsan Rakyat di pekarangan perumahan awam Puchong Utama pada 23 November 2022. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan murah dapat sambutan, 500 ekor ayam habis kurang dua jam

PUCHONG, 23 NOV: Jualan Jelajah Ehsan Rakyat (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang mendapat sambutan menggalakkan apabila 500 ekor ayam habis dalam tempoh kurang dua jam.

Berlangsung di kawasan perumahan awam Puchong Utama di sini, barangan asas lain seperti telur, beras, minyak masak, ikan dan daging dijual 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran turut habis dalam tempoh singkat.

Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang Fauzan Rosli berkata rata-rata penduduk yang hadir berpuas hati dengan harga barangan yang munasabah serta membantu meringankan beban rakyat.

“Inisiatif ini dilaksanakan dengan telus untuk semua rakyat Selangor. Bagi memastikan program mencapai sasaran ditetapkan, kita menjalin kerjasama erat dengan pemimpin setempat di semua kawasan DUN Seri Serdang.

“Ini antara usaha untuk elak orang ramai beli barang keperluan lebih daripada sepatutnya kerana pemimpin setempat lebih kenal penduduk di kawasan mereka.

“Kita memang tak tetapkan had pembelian, tapi kita mahu berlaku adil agar semua yang datang pada hari ini dapat beli barang,” katanya kepada Selangorkini.

Menerusi jualan murah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu, ayam standard dijual RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 setiap pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Petugas Pejabat DUN Seri Serdang memberikan nombor giliran kepada orang ramai yang hadir jualan Jelajah Ehsan Rakyat Dun Seri Serdang di pekarangan perumahan awam Puchong Utama pada 23 November 2022. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI


Pengarang :