Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barang keperluan asas ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Sungai Kandis di Pangsapuri Taman Tun Teja, Shah Alam pada 22 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jualan murah di kawasan perumahan mudahkan suri rumah beli barang dapur

SHAH ALAM, 22 NOV: Kehadiran program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) ke sesebuah kawasan perumahan memudahkan suri rumah membeli barangan keperluan.

Suri rumah Norhayati Ab Samad, 37, berkata suaminya bekerja enam hari seminggu dan sukar untuk dia keluar membeli barangan keperluan asas apatah lagi dia tidak boleh memandu kereta.

“Kena tunggu suami cuti baharu boleh pergi beli barang dapur saya pula tidak pandai bawa kereta, apabila ada jualan macam ini di bawah rumah memang sangat mudah.

“Saya harap JER dapat dianjurkan dengan kerap di kawasan ini kerana ia memudahkan golongan suri rumah mencari keperluan asas,” katanya ditemui pada program di Pangsapuri Taman Tun Teja dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di sini.

Seorang lagi suri rumah Nurul Syuhada Mahmud, 33, berkata program JER di situ tepat pada masanya dan memudahkan dia serta persatuan kawasan rukun tetangga (KRT) membeli keperluan asas.

“Hujung minggu ini kami KRT ada buat kenduri gotong-royong memasak, memang syukur sangat JER datang hari ini, mudah kami beli bahan untuk masak nanti,” katanya.

Seorang lagi suri rumah Nursakinah Mohd Kamarulzaman, 30, berkata dia dan jiran teruja JER datang di bawah rumah dan tidak perlu pergi jauh untuk beli barang dapur.

“Sebelum ini selalu pergi JER di PKPS, Seksyen 14. Suka beli di JER murah sangat…hari ini belanja tidak sampai RM50 dapat ayam, beras, minyak masak dan telur,” katanya.

Selain itu, suri rumah A Mageswary, 50, berkata harga barangan yang dijual itu murah namun ia masih berkualiti dan segar.

“Puas hati dengan barangan asas ini sebagai contoh ayam, daging, ikan semuanya segar dan murah. Program ini sangat membantu terutama dalam keadaan harga barangan naik,” katanya.


Pengarang :