Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas pada harga murah ketika program Jualan Prihatin Rakyat DUN Kota Damansara di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ),Petaling Jaya pada 4 September 2022.Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan murah jadi medan pusat DUN Seri Serdang cari sukarelawan bah

Oleh DIANA ABD WAHAB

SUBANG JAYA,23 NOV: Jualan murah barangan asas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang menjadi medan pencarian sukarelawan bagi menghadapi bencana banjir.

Pegawai Khas Ahli Dewan Negeri Seri Serdang Fauzan Rosli berkata pengunjung Jualan Ehsan Rakyat yang berminat menjadi sukarelawan boleh terus mendaftar.

“Kita fokus mencari sukarelawan (penduduk setempat) di lokasi jualan murah di DUN ini. Mereka ini akan dilatih untuk mengurus pusat pemindahan sementara (PPS). Mereka juga berperanan pastikan operasi agihan bantuan dilaksana dengan telus dan teratur.

“Sukarelawan turut dilatih untuk mengawal situasi dan mengetuai perjalanan operasi seperti mengenal pasti lubuk air, rumah yang dihuni warga emas dan pesakit terlantar sekiranya bencana berlaku,” katanya hari ini.

Terdahulu, jualan murah kelolaan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor yang dibuka jam 10 pagi di perumahan awam Puchong Utama, di sini mendapat sambutan penduduk setempat.

Jelajah itu menyediakan barangan asas seperti ayam standard yang dijual pada harga serendah RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung atau selayang (RM6 per pek), minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).


Pengarang :