Kakitangan PKPS membuat persiapan sebelum memulakan jualan sempena program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Taman Templer, Gombak pada 27 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jualan murah negeri berbaloi, sanggup bermotosikal dari Puchong ke Selayang

Oleh Diana Abd Wahab

SELAYANG, 27 NOV: Program jualan murah barangan asas menggembirakan orang ramai kerana dapat  menjimatkan belanja dapur disamping menikmati bahan makanan berkualiti.

Norhayati Mohd Noor. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

Menurut Norhayati Mohd Noor, 46, yang bertugas sebagai kerani bergegas ke Taman Amansiara, di sini untuk membeli barangan asas yang ditawarkan pada harga murah biarpun menetap di Puchong.

“Selama ini saya tidak tahu kewujudan program Jelajah Ehsan Rakyat (JER). Kebetulan ada urusan di Selayang. Saya terkejut bila lihat harga yang ditawarkan. Tidak akan dapat harga begini di luar.

“Saya ambil keputusan beli barangan lebih sedikit untuk simpan stok biarpun hanya bawa motosikal. Saya juga terus ‘follow’ laman Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Facebook supaya mudah dapatkan maklumat JER selepas ini,” katanya.

Lau Chee Meng. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

Sementara itu, pegawai pemasaran, Lau Chee Meng, 35,  berkata ini kali pertama beliau datang ke program jualan murah negeri dan berharap ia ditambah baik dengan menjual barangan lain seperti sayur.

“Jika tambah lebih banyak barangan asas, program ini boleh jadi pusat sehenti kerana ia bantu jimatkan masa. Orang ramai boleh beli semua barang di satu tempat dan tak perlu pergi beli di tempat lain,” katanya.

Prakash Arumugam. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

Mekanik, Prakash Arumugam, 36, berkata sudah dua kali beliau membeli barangan asas pada program anjuran PKPS itu.

“Dengan RM50, saya dapat beli beras, ayam dan telur. Meskipun murah, kualiti barangan memang setanding pasar raya. Jadi memang sangat bantu jimatkan belanja,” katanya.

Pegawai bank, Norfadilah Mohd Noor, 39, berkata beliau sanggup datang dari Selayang Baru dengan motosikal untuk memanfaatkan tawaran harga murah menerusi progam itu.

Norfadilah Mohd Noor. Foto DIANA ABD WAHAB/SELANGORKINI

“Harga barangan yang ditawarkan memang berbaloi. Kenapa mahu bayar lebih jika boleh berjimat di sini. Saya harap program ini diperluas untuk ringan beban khususnya golongan yang ramai anak,” katanya.

Menerusi jualan murah tersebut, ayam standard dijual pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur (RM10 sepapan).

PKPS turut menawarkan ikan kembung atau selayang pada harga RM6 setiap pek, minyak masak 5kg (RM25) dan beras 5kg (RM10).

Program melibatkan 56 DUN itu bermula 6 September lepas dan sepatutnya berakhir 6 Disember, namun Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan inisiatif itu disambung hingga Mac tahun depan susulan sambutan menggalakkan.

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barang keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Taman Templer, Gombak pada 27 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :