AGENDAJENAYAH

Judi bola Piala Dunia, empat ejen pertaruhan ditahan

JOHOR BAHRU, 28 NOV: Polis menahan empat lelaki yang disyaki terlibat dengan kegiatan judi bola sepak sempena Piala Dunia Qatar 2022 di sekitar Seri Alam dekat sini menerusi Op Soga IX bermula Selasa lepas hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata suspek yang berusia 22 hingga 57 tahun itu dipercayai bertindak sebagai ejen bookie pertaruhan dengan nilai had kredit berjumlah RM75,000.

“Turut dirampas wang tunai berjumlah RM5,975 dan empat telefon bimbit yang mempunyai catatan disyaki pertaruhan kejohanan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua suspek direman tiga hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah, dalam kenyataan berasingan, pula berkata seorang lelaki berumur 31 tahun ditahan Jumaat lepas di sekitar Batu Pahat kerana dipercayai menjalankan kegiatan judi catit taruh bola sepak Piala Dunia Qatar 2022.

Beliau berkata turut dirampas wang tunai RM185 serta sebuah telefon bimbit dan berdasarkan semakan di telefon bimbit tersebut, suspek mempunyai nilai had kredit pertaruhan berjumlah RM8,000.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata dua lelaki berusia 34 dan 42 tahun ditahan di premis berasingan di Bandar Muar dan Parit Jawa dalam serbuan pada Jumaat hingga semalam kerana disyaki terlibat dengan aktiviti sama.

“Turut dirampas tiga telefon bimbit, peralatan tulis dan wang tunai berjumlah RM585 yang disyaki digunakan untuk menjalankan aktiviti bookie kejohanan itu,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM200,000 jika sabit kesalahan.

— BERNAMA

 


Pengarang :