Suasana di pusat penempatan sementara (PPS) Masjid Kampung Johan Setia ketika tinjauan berkenaan bencana banjir yang melanda beberapa buah kawasan di Selangor pada 17 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jumlah mangsa bah di Selangor, tiga negeri terus menurun

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor, Perak, Melaka dan Kelantan mencatatkan penurunan malam ini.

Angka mangsa banjir yang berlindung di PPS di Johor pula kekal walaupun cuaca dilaporkan cerah di beberapa daerah hari ini.

Di SELANGOR, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam melaporkan setakat 8 malam ini, jumlah mangsa banjir di negeri itu terus merekodkan penurunan kepada 637 mangsa daripada 172 keluarga berbanding 886 individu membabitkan 233 keluarga pagi tadi.

Sebanyak 13 PPS masih dibuka iaitu enam di daerah Sepang, masing-masing tiga di Kuala Selangor dan Kuala Langat manakala satu di Klang.

Di PERAK, mangsa banjir di seluruh negeri menurun kepada 864 orang daripada 243 keluarga setakat 8 malam berbanding 920 orang daripada 263 keluarga pagi tadi.

Kesemua mangsa berlindung di sembilan PPS yang masih dibuka manakala sebuah PPS telah ditutup pada 3 petang tadi iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak di Daerah Kerian.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir menurun kepada 24 mangsa daripada enam keluarga malam ini berbanding 44 orang membabitkan 10 keluarga pada 8 pagi tadi, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka.

Penduduk, Raja Sahrin Tengku Ismail, 56, meranduk air banjir untuk melihat kawasan sekitar rumahnya yang dinaiki air akibat limpahan air Sungai Muar di Kampung Seberang Batu Badak, Segamat, Johor pada 3 November 2022. Foto BERNAMA

Sekretariat itu dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua mangsa terjejas dari Daerah Alor Gajah itu ditempatkan di PPS di Dewan Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal.

Kesemua mangsa yang terjejas itu adalah dari Kampung Bukit Balai, Kampung Pulau, Kampung Belimbing dan Kampung Panchor.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir termenung di Rantau Panjang, Pasir Mas terus berkurangan kepada 30 orang membabitkan enam keluarga setakat 8 malam ini berbanding 401 orang daripada 115 keluarga pagi tadi.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kesemua mangsa banjir berkenaan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Tok Deh, Rantau Panjang.

Di JOHOR, jumlah mangsa banjir kilat di dua daerah iaitu Segamat dan Tangkak kekal 179 orang malam ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa yang terdiri daripada 47 keluarga itu masih ditempatkan di empat PPS yang masih beroperasi, setakat ini.

“Di Tangkak, seramai 122 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Simpang 5 Darat manakala 13 orang di Sekolah Agama Simpang 5 Darat.

“Seramai 30 orang pula ditempatkan di Balai Raya Kampung Batu Badak dan 14 orang masih berada di Dewan Komuniti Tasek, dua-dua di Segamat,” menurut JPBD.

Cuaca hari ini di beberapa daerah seperti Muar, Batu Pahat, Kluang dan Johor Bahru dilaporkan cerah.

-BERNAMA

 


Pengarang :