Teks dan bahan Al-Quran yang berjaya dirampas menerusi Ops Naskhah ekoran tidak mendapat kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Qur’an (LPPPQ) dipamerkan kepada media dalam sidang media Ops Naskhah di Pejabat Bahagian Penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) Negeri Selangor, Shah Alam pada 17 November 2022. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

KDN rampas 3,823 naskhah, bahan, hasil penerbitan al-Quran dirumikan

SHAH ALAM, 17 NOV: Sebanyak 3,823 naskhah, bahan dan hasil penerbitan al-Quran khususnya dari Indonesia dirampas menerusi Op Naskhah yang dilaksanakan di seluruh Selangor sejak 1 Oktober lepas sehingga semalam dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM110,221.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ahmad Hilmi Said berkata pihaknya turut merampas 943 filem format cakera video digital (DVD).

Beliau berkata rampasan berkenaan adalah hasil risikan dan operasi pihaknya di mana bahan-bahan yang dirampas itu tidak melalui atau melepasi tapisan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ) dan Lajnah Tashih al-Quran dalam negara.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati naskhah al-Quran yang dirampas mengandungi penulisan ayat al-Quran yang telah dirumikan, diperoleh dari Indonesia.

“Merumikan ayat al-Quran adalah tidak dibenarkan dalam negara ini dan telah difatwakan haram oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ahmad Hilmi berkata kecenderungan penggunaan ayat al-Quran yang tulisannya telah dirumikan dikhuatiri akan menyebabkan bahasa al-Quran iaitu Bahasa Arab terpinggir.

Lebih membimbangkan LPPPQ adalah penggunaan ayat al-Quran yang dirumikan akan menyalahi nahu bahasa Arab yang mungkin menyebabkan maksud asal perkataan itu terpesong, katanya.

“Setakat ini, kita tidak mengesan sebarang penglibatan sindiket dalam penjualan naskhah al-Quran tersebut sebaliknya lebih kepada permintaan selepas didapati ia banyak dijual di media sosial.

“Harga yang ditawarkan adalah antara RM40 hingga RM100 mengikut saiz dan kes berkenaan disiasat mengikut Akta Pencetakan Teks al-Quran 1986, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya.

Ahmad Hilmi berkata pihaknya akan terus mempergiatkan penguatkuasaan di pintu masuk utama negara di Selangor antaranya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang selain di kedai-kedai menjual naskhah, bahan serta hasil penerbitan al-Quran.

Beliau turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti yang bersalahan dengan undang-undang di talian 03-55190349 atau Instagram @pkkselangorkdn serta Facebook rasmi Penguatkuasaan dan Kawalan Selangor.

– BERNAMA


Pengarang :