Sebahagian daripada penduduk Saujana Utama yang menghadiri ceramah Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari dan calon HARAPAN Sungai Buloh Datuk R Ramanan di Saujana Utama pada 14 November 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kejayaan tadbir Selangor jadi contoh HARAPAN mampu bela nasib rakyat

SHAH ALAM, 15 NOV: Kejayaan Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor menjaga kebajikan warganya sejak 2008 menjadi contoh gabungan itu berupaya mentadbir negara dan membela nasib rakyat.

Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata prestasi gabungan itu boleh dinilai sepanjang 14 tahun mentadbir termasuk ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

Beliau menjelaskan antara program disediakan ialah tuisyen percuma yang memanfaatkan 20,000 pelajar dengan dana RM6 juta dan skim insurans percuma dari bayi hingga warga emas.

“Saya percaya bukan masa singkat boleh laksana kerana Selangor pun ambil masa 14 tahun baru boleh buat,” katanya pada ceramah kelompok di Taman Saujana Utama di sini semalam.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada program Santai Bersama Dato’ Menteri Besar di Saujana Utama pada 14 November 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Kalau mahu tengok HARAPAN jangan pandang pada 22 bulan tetapi lihat Selangor sudah 14 tahun. Kerusi (Dewan Undangan Negeri) bertambah dan majoriti semakin baik.”

Program turut dihadiri Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan calon HARAPAN Parlimen Sungai Buloh Datuk R Ramanan.

Di bawah pentadbiran Amirudin, Selangor menyumbang 24.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2021 berbanding 23.2 pada 2017, ketika Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menjadi Dato’ Menteri Besar.

Negeri itu juga merekodkan rizab simpanan lebih RM3.4 bilion setakat Ogos, tertinggi sejak 2012 selain menawarkan 44 inisiatif bagi menambah baik kehidupan rakyat dengan dana RM600 juta.

Dikenali Iltizam Selangor Penyayang, program meliputi Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) yang memberikan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun kepada keluarga berpendapatan rendah.


Pengarang :