Penolong Pegawai Hutan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor Mohd Hadzmer Sanuddin memegang akar pokok pepanjat yang mengelilingi pokok tempinis di hutan simpan Ampang Pechah. Nama sainsnya ‘Streblus elongatus’, tempinis sejenis pohon sederhana yang boleh tumbuh setinggi 30 meter pada 14 September 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Keluasan hutan simpan makin bertambah banding 2008

SHAH ALAM, 26 NOV: Keluasan hutan simpan kekal di Selangor berjumlah 250,250 hektar bersamaan 31.65 peratus keluasan negeri, meningkat berbanding 30.55 peratus pada 2008.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peningkatan itu membuktikan kesungguhan pentadbiran negeri yang prihatin terhadap usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan.

“Beberapa usaha giat dilaksanakan bagi menambah keluasan hutan simpanan kekal di Selangor  selaras komitmen yang dizahir dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1),” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2023 semalam.

Beliau berkata Kerajaan Negeri turut menyambut baik pelan pelaksanaan Rangkaian Koridor Ekologi rancangan pengurusan tulang belakang hutan tengah (CFS) seperti digariskan dalam Rancangan Fizikal Negara Ke-3.

“Kerajaan Negeri telah mengisytiharkan Kuala Kubu Bharu di Hulu Selangor sebagai CFS Negeri Selangor pada 2021 yang menjadi inspirasi yang amat tinggi dalam pelaksanaan inisiatif CFS di Selangor,” katanya.

Selain itu, Kerajaan Negeri meluluskan RM150,000 dalam peruntukan pembangunan negeri pada tahun depan berkaitan inisiatif CFS.

Amirudin berkata Selangor memberi komitmen tinggi dalam aspek perlindungan hutan termasuk penanaman pokok di seluruh negeri melibatkan pelbagai pihak antaranya pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan.

“Sehingga Ogos, Selangor menanam 320,000 pokok dan jumlah ini menyumbang kepada pencapaian keseluruhan penanaman di Malaysia bagi tahun 2022 iaitu 12,400,000 pokok melalui Program Penghijauan Malaysia,” katanya.


Pengarang :