Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyiram selepas menanam pokok Merbau sebagai simbolik perasmian program penanaman pokok sempena Hari Hutan Antarabangsa peringkat negeri di kaki Bukit Broga, Hulu Langat pada 24 September 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Keluasan hutan simpan makin bertambah banding 2008

SHAH ALAM, 25 NOV: Keluasan hutan simpan kekal di Selangor berjumlah 250,250 hektar bersamaan 31.65 peratus keluasan negeri, meningkat berbanding 30.55 peratus pada 2008.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peningkatan itu membuktikan kesungguhan pentadbiran negeri yang prihatin terhadap usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan.

“Beberapa usaha giat dilaksanakan bagi menambah keluasan hutan simpanan kekal di Selangor selaras komitmen yang dizahir dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1),” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2023 hari ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri turut menyambut baik pelan pelaksanaan Rangkaian Koridor Ekologi rancangan pengurusan tulang belakang hutan tengah (CFS) seperti digariskan dalam Rancangan Fizikal Negara Ke-3.

“Kerajaan Negeri telah mengisytiharkan Kuala Kubu Bharu di Hulu Selangor sebagai CFS Negeri Selangor pada 2021 yang menjadi inspirasi yang amat tinggi dalam pelaksanaan inisiatif CFS di Selangor,” katanya.

Selain itu, Kerajaan Negeri meluluskan RM150,000 dalam peruntukan pembangunan negeri pada tahun depan berkaitan inisiatif CFS.

Amirudin berkata Selangor memberi komitmen tinggi dalam aspek perlindungan hutan termasuk penanaman pokok di seluruh negeri melibatkan pelbagai pihak antaranya pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan.

“Sehingga Ogos, Selangor menanam 320,000 pokok dan jumlah ini menyumbang kepada pencapaian keseluruhan penanaman di Malaysia bagi tahun 2022 iaitu 12,400,000 pokok melalui Program Penghijauan Malaysia,” katanya.


Pengarang :