Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Bagan Datuk Shamsul Iskandar Mat Akin ketika berkempen pada 6 November 2022. Foto Facebook Shamsul Iskandar Mat Akin
AGENDANASIONAL

Kemajuan Bagan Datuk dan Selangor ‘ibarat langit dan bumi’, Shamsul mahu beri nafas baharu

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 14 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Bagan Datuk mempersoal kemajuan yang dicapai di kawasan berkenaan dalam tempoh 27 tahun diterajui penyandangnya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Shamsul Iskandar Mat Akin menjelaskan pelbagai kemajuan dikecapi penduduk Selangor yang ditadbir HARAPAN yang dianggapnya “ibarat langit dengan bumi”.

“Kalau hendak dibandingkan kemajuan di Selangor dengan apa yang dilakukan ahli parlimen yang selama 27 tahun di Bagan Datuk ibarat langit dan bumi,” katanya menerusi Facebook.

Justeru, beliau berazam untuk menerima nafas baru jika diberi mandat termasuk menewaskan Zahid yang juga presiden Umno pada 19 November.

Shamsul Iskandar juga kesal berikutan ada penyokong Barisan Nasional menyerang dengan kata-kata kesat dalam kempen di Hutan Melintang bersama selebriti Datuk Afdlin Shauki semalam.

Beliau menyifatkan kejadian tersebut menunjukkan betapa BN gelisah melihat gelombang rakyat di kerusi berkenaan.

“Jadi, selepas 27 tahun cukup-cukuplah, demi perubahan dan masa depan generasi muda, pengundi P075 pilihlah calon nombor tiga,” katanya.

Shamsul Iskandar mencabar Zahid selain berdepan Dr. Faiz Na’aman (Perikatan Nasional) dan Tawfik Tun Dr Ismail (Bebas) pada pilihan raya umum ke-15.


Pengarang :