Pengerusi Pakatan Harapan Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama penduduk di Dewan Orang Ramai, Kampung Bukit Kuching Tengah, Kuala Selangor pada 14 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kempen HARAPAN Selangor lancar, calon digesa terus dekati pengundi

KUALA SELANGOR, 14 NOV: Perjalanan kempen pilihan raya umum ke-15 (PRU15) calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor berjalan lancar selain sokongan pengundi terhadap gabungan itu terus meningkat.

Pengerusi HARAPAN negeri Dato’ Seri Amirudin Shari mengesa semua calon mempergiatkan kempen di kawasan masing-masing untuk tempoh berbaki beberapa hari sebelum 19 November.

“Ini kerana jumlah pengundi melebihi 30 hingga 40 peratus berbanding PRU lepas disebabkan pertambahan undi pos dan pemilih didaftarkan secara automatik,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis makan tengah hari bersama penduduk kampung sekitar Kuala Selangor di Dewan Orang Ramai Kampung Bukot Kuching Tengah di sini hari ini.

Hari ini, Dato’ Menteri Besar yang juga calon HARAPAN Parlimen Gombak menjelajah ke beberapa Parlimen negeri ini bagi membantu kempen calon.

Selain Kuala Selangor, Amirudin juga menjelajah ke Tanjong Karang sebelum dijadual ke Hulu Langat, Shah Alam dan Sungai Buloh.

“Kita harap dapat membantu (calon) di kawasan yang memerlukan lebih sokongan untuk menentukan kemenangan HARAPAN dalam PRU kali ini,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 November sebagai hari pengundian bagi PRU15, manakala pengundian awal 15 November.


Pengarang :